PUTRAJAYA: Pelaksanaan sistem e-Invois membantu Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) melaksanakan penilaian risiko yang lebih efektif, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan menangani ketirisan dan menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil negara.
Berasaskan data e-Invois, pengurusan data analitik memudahkan LHDN mengenal pasti individu atau perniagaan yang mempunyai transaksi kewangan aktif, termasuk pembelian bernilai besar, tetapi kemungkinan wujud risiko pendapatan masih belum dilaporkan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, berkata hasil pelaksanaan e-Invois sejak Ogos 2024 menyaksikan lebih 52,540 pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan tambahan pendapatan bercukai sebanyak RM4.07 bilion yang menyumbang kepada cukai kena dibayar berjumlah RM1.009 bilion.
Beliau berkata, e-Invois bukan membebankan peniaga atau mengenakan cukai tambahan terhadap mereka, sebaliknya bagi membolehkan kerajaan memperoleh data transaksi yang boleh digunakan untuk tujuan analisis dan pematuhan cukai.
Katanya, analisis data diperoleh menerusi sistem e-Invois membolehkan LHDN mengenal pasti pembayar cukai berisiko yang memerlukan semakan lanjut apabila ada corak transaksi atau pembelian yang tidak sepadan dengan rekod percukaian.
"Selaras dengan prinsip ketelusan dalam sistem percukaian negara, bermula 1 Januari 2026, semua pembayar cukai perlu mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barangan atau penyediaan perkhidmatan yang melebihi RM10,000.
"Oleh itu, pembeli perlu mengemukakan maklumat nombor pengenalan diri atau nombor pengenalan cukai (TIN) kepada penjual bagi membolehkan e-Invois dapat dikeluarkan dengan maklumat pembeli yang tepat.
"Jika semakan mendapati mereka tidak berdaftar atau ada kemungkinan pendapatan belum dilaporkan, HASiL akan menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan," katanya dalam temu bual khas bersama BH.
LHDN hantar surat
Johan berkata, pendekatan itu bukan terus menjurus kepada tindakan penguatkuasaan, sebaliknya pada peringkat awal, LHDN menghantar surat kepada individu terbabit bagi membolehkan mereka menyemak semula dan mengemas kini pelaporan pendapatan jika perlu.
"Berdasarkan pelaksanaan e-Invois setakat ini, apabila kita memperoleh data dan membuat analisis, kita mendapati terdapat individu atau perniagaan yang aktif membuat pembelian, tetapi tidak berdaftar atau tidak melaporkan pendapatan sewajarnya dengan LHDN.
"Susulan itu, LHDN menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan sama ada terdapat punca pendapatan belum dizahirkan. Hasilnya, setakat ini lebih 52,540 pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan tambahan cukai kena dibayar berjumlah kira-kira RM1 bilion.
"Itu adalah hasil pelaksanaan inisiatif e-Invois," katanya sambil menjelaskan kerajaan memahami sistem e-Invois masih baharu dan peniaga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pelaksanaannya.
Oleh itu, katanya, kerajaan memperkenalkan tempoh pelaksanaan e-Invois secara berfasa serta tempoh peralihan tambahan (relaxation period) bagi membolehkan mereka merancang dan melaksanakan e-Invois dengan sempurna.
Seterusnya, bagi membantu pembayar cukai memenuhi keperluan pematuhan, Johan berkata, kerajaan memperkenalkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois.
"Ia membolehkan peniaga membetulkan atau melengkapkan rekod e-Invois sehingga 31 Disember 2027 tanpa dikenakan penalti," katanya.
Selain itu, kerajaan turut bersetuju mempercepat tuntutan penuh elaun modal bagi perbelanjaan pembelian komputer, perisian dan sistem yang diperlukan bagi melaksanakan e-Invois dalam tempoh satu tahun bagi membantu mengurangkan kos pematuhan.
Johan berkata, penggunaan data menerusi e-Invois juga dijangka memperkukuh usaha kerajaan menangani ekonomi gelap secara berperingkat, di samping meningkatkan tahap pematuhan cukai tanpa menambah beban kepada peniaga yang mematuhi peraturan.
























