BH Online
Ringkasan Berita

Gabung jentera, PN dan BN ada kekuatan berganda

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) kini memiliki kekuatan berganda apabila jentera mereka bergabung menggempur keseluruhan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Gabung jentera, PN dan BN ada kekuatan berganda

Hamzah (tengah) pada pertemuan bersama calon dan kepimpinan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PAS sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. - NSTP

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) kini memiliki kekuatan berganda apabila jentera mereka bergabung menggempur keseluruhan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Perkara itu diakui Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dengan kedua-dua pihak mula menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama di semua peringkat dalam PRN ini.

Tegas beliau, kesediaan bukan sekadar terbentuk di peringkat tertinggi, malah sehingga ke peringkat bawahan iaitu jentera kami.

"Di sini, kami gabungkan dua jentera BN dan PN di seluruh negeri... kami meletakkan calon di hadapan bersama jentera gabungan ini supaya dapat bersama-sama mengambil alih pentadbiran di Negeri Sembilan.

"Ini yang kita mahu ketengahkan supaya kami dapat kembali bergabung bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga di peringkat Pusat sekiranya kerjasama ini dapat diteruskan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui dalam Program Perjumpaan Bersama Jentera BN, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop.

Calon PN bagi DUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah; calon BN DUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin serta calon PN DUN Ampangan, Datuk Dr Rafie Abd Malek turut hadir.

Hamzah yang juga Presiden WAWASAN berkata, ada pihak yang mempertikai jumlah kerusi yang 'diberi' BN kepada PN yang disifatkan terlalu banyak.

"Ada pihak marah BN kenapa bagi kerusi banyak sangat pada PN. Mana banyak jika daripada 36 kerusi dapat 11. Kami (PN) dapat 11 (kerusi) pun jadilah.

"Kita tidak mahu buat kira-kira jumlah kerusi yang akhirnya akan membawa kepada perpecahan kerana kita perlu lihat isu yang lebih besar," katanya.

Menurutnya, apa yang dimahukan adalah semangat perpaduan antara persefahaman BN dan PN akan membawa gelombang biru di seluruh Negeri Sembilan.

"Ada 'kumpulan merah' yang gagal menguruskan negeri kita. Ia bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga di seluruh negara.

"PRN di Negeri Sembilan kita anggap sebagai 'peperangan' kecil untuk dimenangi. Peperangan lebih besar nanti adalah mengambil alih kerajaan pusat," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan