BH Online
Ringkasan Berita

Sudah 10 hari Mokni hilang, motosikal ditemui dekat sungai

KOTA BHARU: Memasuki hari ke-10 kehilangan seorang wanita warga emas, solat hajat terus dilakukan sebagai ikhtiar agar Rosnani Mahmood ditemukan dengan selamat selain pencarian masih dibuat.
Sudah 10 hari Mokni hilang, motosikal ditemui dekat sungai

Wan Hirmanuzi Wan Ibrahim menunjukkan gambar Mokni yang sudah 10 hari hilang dan motosikalnya ditemui berdekatan Sungai Wakaf Stan - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Memasuki hari ke-10 kehilangan seorang wanita warga emas, solat hajat terus dilakukan sebagai ikhtiar agar Rosnani Mahmood ditemukan dengan selamat selain pencarian masih dibuat.

Rosnani, 62, disedari hilang pada petang Jumaat, 10 Julai lalu dan usaha mencari sudah dijalankan di sekitar kediamannya di Wakaf Stan, Kubang Kerian dan mukim berhampiran namun wanita itu gagal dijumpai.

Anak saudaranya, Wan Hirmanuzi Wan Ibrahim, 48, berkata, Rosnani tinggal berseorangan memandangkan tidak pernah berkahwin namun wanita itu tetap dalam pemantauan ahli keluarga terutama yang tinggal berhampiran.

"Pada petang Jumaat, bapa sepupu ke rumah Mok Ni (Rosnani) namun dia tiada manakala motosikalnya juga tidak kelihatan.

"Pada malamnya sekali lagi ahli keluarga ke rumahnya namun keadaannya gelap gelita sehinggalah pagi keesokannya (Sabtu), kami sepakat untuk mencari Mok Ni dan laporan polis juga dibuat malam itu.

"Pencarian terus dibuat termasuk menghubungi sanak saudara yang menetap di luar Kelantan serta beberapa rakan Mok Ni yang kami kenal namun semuanya hampa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Hirmanuzi berkata, hari ketiga kehilangan Rosnani, dia menerima panggilan daripada sepupunya yang mengatakan motosikal Modenas Kriss milik Mok Ni dijumpai tidak jauh dari Sungai Wakaf Stan iaitu dua kilometer dari rumahnya.

Katanya, motosikal itu berada dalam keadaan baik dan baju hujan serta tuala basahan masih dalam raga manakala motosikal itu juga dibiarkan tidak berkunci.

"Kami segera mencari Mok Ni di sekitar lokasi penemuan motosikalnya itu termasuk dalam semak serta permukaan sungai menggunakan bot namun hampa.

"Mok Ni tidak pernah keluar jauh dari rumahnya walaupun menunggang motosikal dan sentiasa pulang ke rumah sebelum malam, jadi agak pelik dengan kehilangannya ini," katanya.

Terdahulu seramai 40 penduduk sekitar Wakaf Stan di sini hadir mengadakan solat Hajat yang diimamkan oleh cicit ulama terkenal Kelantan, Allahyarham Tok Kenali iaitu Hafiz Hukmi Wardi yang juga Pengerusi Pondok Tok Kenali, Kubang Kerian, di lokasi penemuan motosikal Rosnani.

Mengulas lanjut, Wan Hirmanuzi berkata, ikhtiar turut dilakukan dengan merujuk kepada ustaz dan pengamal perubatan tradisional dan rata-ratanya memberitahu Rosnani masih hidup.

"Biarpun tidak sahih tapi sekurang-kurangnya ia dapat melegakan kami sekeluarga kerana sangat berharap Mok Ni dapat dijumpai walau apa keadaannya sekalipun, hidup atau mati," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan