PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau lebih selesa mengamalkan strategi berkempen dalam kumpulan kecil bagi memastikan keselesaan pengundi yang ditemuinya.
Beliau berkata, pendekatan itu diamalkan bertujuan memudahkannya untuk berinteraksi dan mendengar luahan hati masyarakat setempat secara lebih dekat.
"Bagi saya, saya nak mudahkan bertemu masyarakat. Saya tak nak ramai-ramai (jentera pengiring), kasihan penduduk. Dia nak jumpa saya, bukannya nak jumpa ramai-ramai.
"Sejak 2008 saya berkempen macam inilah. Kalau boleh berdua atau bertiga pun sudah cukup bagi saya, yang penting saya dapat jumpa orang," katanya ketika ditemui media selepas menyantuni pengundi India dalam satu program kempen di kawasan Pekan Pasir Panjang dekat sini, hari ini.
Mengulas mengenai program bersama masyarakat India itu, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau terharu dengan sambutan yang diberikan pengundi itu sekali gus menyifatkannya sebagai petanda positif sokongan pengundi India terhadap PH di kawasan itu.
Katanya, walaupun status beliau sebagai Menteri Besar yang kini sekadar bertindak sebagai kerajaan 'caretaker', Aminuddin menegaskan jawatan itu tidak memberikan sebarang kelebihan buatnya sepanjang tempoh berkempen di Linggi.
"Menteri Besar pun sekarang sudah dipanggil 'caretaker' sahaja. Itu tidaklah menjadi kelebihan sebab saya tidak boleh buat apa-apa keputusan pun buat masa ini. Saya lalui kempen ini macam biasa sebagai calon sahaja," jelas beliau.
Menyentuh mengenai strategi di DUN Linggi yang dikatakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), Aminuddin mengakui cabaran di kawasan perkampungan adalah berbeza berbanding kawasan bandar.
"Bukan mudah bagi saya, tetapi saya terpaksa berjumpa seramai mungkin, memujuk dan merayu kepada mereka. Bukan satu kaum sahaja, semua kaum saya kena pujuk.
"Bezanya di sini kawasan kampung, pergerakan agak terhad berbanding taman perumahan yang membolehkan saya berjalan dari rumah ke rumah dengan lebih laju.
"Namun, saya akan cuba yang terbaik," katanya yang optimis dengan penerimaan masyarakat kawasan itu setakat ini.
Terdahulu, Aminuddin memulakan gerak kerja kempen seawal waktu Subuh dengan solat berjemaah di Masjid Pasir Panjang dan bersarapan bersama penduduk setempat sebelum melakukan ziarah kebajikan ke rumah warga emas yang terlantar sakit.
Beliau kemudian meneruskan kempen ke pasar, gerai-gerai sekitar Pasir Panjang serta menghadiri program kenduri bersama masyarakat India di kawasan tersebut.
























