JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kejohanan bola sepak bawah 12 Tahun (B-12) di sebuah pusat sukan di sini, semalam.
Mangsa, Danish Hizqeel Mohd Hanif adalah pemain bagi pasukan kelab bola sepak yang berpangkalan di Pasir Gudang.
Difahamkan, kanak-kanak berkenaan tiba-tiba rebah ketika sedang beraksi di padang dan disahkan meninggal dunia di pusat sukan berkenaan.
Menerusi hantaran di laman Facebook, kelab itu menyifatkan ia adalah satu kehilangan amat besar buat pasukan mereka.
Danish Hizqeel mewakili kelab berkenaan sejak berusia lapan tahun.
"Sepanjang bersama kami, Danish Hizqeel seorang anak yang bersemangat, rajin berlatih, menghormati jurulatih serta sentiasa membawa senyuman kepada rakan-rakannya.
"Pemergiannya adalah satu kehilangan yang amat besar. Kenangan, semangat dan jasa beliau akan sentiasa terpahat di hati kami," katanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyatakan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri negeri, Mohd Hairi Mad Shah, berkata kejadian itu mengingatkan semua mengenai pentingnya aspek keselamatan, kesiapsiagaan perubatan serta pemantauan kesihatan dalam setiap penganjuran aktiviti sukan, khususnya yang membabitkan atlet muda.
























