MELAKA: Pemuda Barisan Nasional (BN) mencabar Angkatan Muda Harapan (AMH) supaya mendesak Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan jawatan serta keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika benar-benar konsisten dengan pendirian berhubung persefahaman politik ketika ini.
Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata ini kerana desakan supaya BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya bersifat terpilih kerana WARISAN dan GPS juga pernah bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya, namun masih kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan.
"Saya minta AMH mendesak juga WARISAN untuk keluar kerana mereka juga melawan PH ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu, sedangkan ketika itu mereka adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
"Jika selepas ini berlangsung PRN Sarawak dan GPS bertanding menentang PH, desak juga GPS untuk keluar daripada Kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
AMH hari ini dilaporkan mahu semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan gabungan parti itu secara terbuka menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan, AMH memaklumkan, tindakan BN itu membuktikan parti berkenaan tidak lagi menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata, jika AMH benar-benar mahu berpegang kepada prinsip, desakan itu perlu dikenakan kepada semua parti yang berada dalam situasi sama, bukan hanya terhadap BN dan UMNO.
Katanya, tindakan memilih sasaran tertentu hanya akan menimbulkan persepsi bahawa wujud layanan berbeza terhadap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, prinsip yang digunakan terhadap UMNO sepatutnya turut diguna pakai terhadap WARISAN dan GPS sekiranya mereka bertanding menentang PH dalam pilihan raya negeri.
Serentak itu, Dr Muhamad Akmal, berkata pendirian Pemuda UMNO yang mahu parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan kekal tidak berubah sehingga kini.
"Sebagaimana pendirian Pemuda UMNO sebelum ini yang mahu parti terbesar Melayu itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan, begitulah juga pendirian kami kekal hingga kini.
























