BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: DNA UMNO, BN bukan penderhaka - Onn Hafiz

KUALA PILAH: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan DNA UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah bercirikan penderhakaan terhadap institusi Raja-Raja, sebaliknya sentiasa menjunjung prinsip taat setia kepada Raja serta negara.
PRN NS: DNA UMNO, BN bukan penderhaka - Onn Hafiz

Menteri Besar Johor, merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika ditemui media selepas majlis perjumpaan Jentera BN Kuala Pilah, di Juasseh, hari ini.

KUALA PILAH: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan DNA UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah bercirikan penderhakaan terhadap institusi Raja-Raja, sebaliknya sentiasa menjunjung prinsip taat setia kepada Raja serta negara.

Pengerusi BN Johor itu berkata, naratif yang melabel pemimpin BN Negeri Sembilan sebagai penderhaka susulan kemelut politik negeri adalah satu bentuk fitnah yang perlu dipatahkan dengan fakta dan kebenaran.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program perjumpaan jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, di sini, hari ini.

"DNA UMNO, DNA BN bukan DNA penderhaka seperti yang mereka katakan. UMNO lahir dekat Istana Besar Johor, kita tidak akan derhaka dengan institusi Raja.

"Kita mahu menang dengan kebenaran. Sebab itu segala fitnah mesti dan wajib dipatahkan," katanya.

Onn Hafiz berkata, pengalaman Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 perlu dijadikan pengajaran oleh jentera BN supaya tidak membiarkan naratif lawan menguasai pemikiran rakyat menerusi janji dan tuduhan yang tidak berasas.

Beliau turut mengingatkan jentera BN Negeri Sembilan supaya mengambil peranan menjelaskan isu berkaitan perubahan kerajaan negeri, termasuk menjawab dakwaan yang dilemparkan terhadap kepimpinan parti.

"Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Kita sudah melalui pengalaman 2018 apabila pelbagai janji dibuat, tetapi akhirnya tidak seperti yang diharapkan rakyat.

"Jadi calon-calon kita, ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri perlu tampil menjawab segala fitnah," katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkongsi kejayaan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu sebagai contoh bahawa kekuatan jentera dan kerjasama antara parti komponen mampu membawa kemenangan besar.

Beliau berkata, kejayaan BN Johor diraih menerusi semangat berpasukan membabitkan UMNO, MCA, MIC serta rakan-rakan parti dan penyokong BN.

"Kalau Johor boleh buat, Negeri Sembilan pun boleh buat. Formula pertama ialah kerja berpasukan. Melayu, Cina, India, Orang Asli, semuanya bergerak sebagai satu keluarga.

"Kalau kita boleh bantu MIC menang di kawasan majoriti Felda, takkan MIC dan MCA tidak boleh bantu kita di sini. Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan," katanya.

Beliau turut meminta wakil rakyat BN yang menang pada PRN Johor berkongsi pengalaman peningkatan majoriti sebagai motivasi kepada jentera BN Negeri Sembilan.

Antara contoh dikongsikan ialah kemenangan calon BN di DUN Permas dengan majoriti lebih 29,000 undi, selain beberapa kawasan lain yang menunjukkan peningkatan sokongan kepada BN.

Onn Hafiz berkata, kemenangan besar itu bukan sekadar hasil kekuatan calon, sebaliknya pengorbanan jentera akar umbi yang bekerja tanpa mengenal penat.

"Pemimpin yang duduk di atas pentas tidak mungkin menang tanpa kerja kuat jentera di bawah. Bila sudah menang, jangan lupa turun padang dan terus berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan