BH Online
Ringkasan Berita

Loya, muntah berhari-hari kesan sampingan ubat 'suntikan kurus'

KUALA LUMPUR: Loya, muntah dan cirit birit berhari-hari dalam tempoh seminggu adalah antara kesan sampingan yang ditanggung mereka yang menggunakan suntikan ubat diabetes bagi membantu penurunan berat badan.
Loya, muntah berhari-hari kesan sampingan ubat 'suntikan kurus'

Keadaan Nurul Rashimatul Murni sebelum dan selepas gunakan suntikan ubat diabetes dengan pengawasan doktor.

KUALA LUMPUR: Loya, muntah dan cirit birit berhari-hari dalam tempoh seminggu adalah antara kesan sampingan yang ditanggung mereka yang menggunakan suntikan ubat diabetes bagi membantu penurunan berat badan.

Eksekutif akaun yang juga usahawan, Nurul Rashimatul Murni Abdul Rashid, 31, mengakui selepas menggunakan suntikan ubat diabetes dengan pengawasan doktor itu, beliau mengalami loya dan muntah selama tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata, keadaan lebih mencabar ketika pengambilan dos suntikan ubat itu ditingkatkan kepada 7.5 miligram (mg) apabila beliau berterusan loya, muntah, cirit-birit dan hilang selera makan selama hampir seminggu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia demam hingga perlu mengambil cuti sakit selama dua hingga tiga hari, namun kes itu tidak berlarutan.

"Saya mula mendapatkan rawatan penurunan berat badan selepas dimasukkan ke hospital selama lebih seminggu pada Disember tahun lalu akibat tekanan darah tinggi mencecah lebih 150/100 mmHg.

"Ketika itu, berat badan saya 82 kilogram dengan ketinggian 169 sentimeter (cm) dan sudah mencuba pelbagai jenis ubat darah tinggi, namun masalah kesihatan dialami masih berlarutan.

"Doktor menasihatkan saya menurunkan berat badan kerana tekanan darah masih tinggi dan saya kerap sakit kepala.

"Saya kemudian membuat carian kaedah menurunkan berat badan dan mengetahui mengenai suntikan ubat diabetes mampu membantu mengatasi masalah obesiti secara lebih sihat," katanya.

Susulan itu, beliau mendapatkan rawatan itu bermula 17 Januari lalu dan berakhir pada 13 Mei lalu, dengan penurunan berat badan sebanyak 26 kilogram dalam tempoh kira-kira empat bulan.

"Berat badan saya turun kepada 56 kilogram. Selepas itu badan terasa lebih ringan, mudah bergerak dan melakukan aktiviti luar, selain masalah pening kepala semakin berkurangan.

"Tekanan darah juga semakin stabil berbanding sebelum ini," katanya yang membelanjakan lebih RM6,000 bagi kos keseluruhan rawatan menurunkan berat badannya itu.

Nurul Rashimatul Murni berkata, individu yang berminat mendapatkan rawatan berkenaan perlu menjalani saringan kesihatan dan ujian darah terlebih dahulu sebelum doktor menentukan kesesuaian rawatan.

"Saya menghentikan suntikan ubat diabetes itu selepas mencapai Indeks Jisim Badan (BMI) normal dan tekanan darah yang lebih terkawal, selain atas nasihat doktor," katanya.

Bukan jalan pintas

Sementara itu, pekerja swasta, Nurul Fatin Nazari, 30, berkata beliau melakukan suntikan ubat diabetes disyorkan doktor kerana mengalami obesiti tahap satu dan kesukaran menurunkan berat badan melalui kaedah konvensional.

BH19loya2
Nurul Fatin.

"Saya sudah mencuba pelbagai cara secara semula jadi, namun sukar mendapatkan hasil diinginkan dan atas nasihat doktor, saya memulakan rawatan pada 25 Mac lalu ketika berat badan mencecah 90 kilogram.

"Dalam tempoh kira-kira dua bulan, saya berjaya menurunkan berat badan kepada 76 kilogram dan perubahan paling ketara dirasainya ialah peningkatan tahap kecergasan badan, selain masalah sakit lutut serta mudah tercungap ketika berjalan berkurangan," katanya.

Bagaimanapun, Nurul Fatin menyatakan suntikan itu bukan jalan pintas untuk kurus kerana disiplin dalam pemakanan dan gaya hidup sihat tetap penting.

"Suntikan itu wajar dipertimbangkan oleh individu obesiti yang sukar menurunkan berat badan dan mempunyai masalah kesihatan berkaitan, tetapi pengguna perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu dan mengikuti pelan rawatan ditetapkan," katanya.

Lagi berita berkaitan:

Bahana trend suntik kurusPromosi meluas dorong individu pilih jalan pintas

Video Terkini

Berita Berkaitan