BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Dakwaan PDM Klawang tak beroperasi mengecewakan - Jalaluddin

JELEBU: Dakwaan beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang dikendalikan Barisan Nasional (BN) ditutup selepas parti itu tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Negeri Sembilan disifatkan ‘amat mengecewakan’.
PRN NS: Dakwaan PDM Klawang tak beroperasi mengecewakan - Jalaluddin

Calon BN DUN N.02 Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, turut serta dalam acara tarik tali yang diadakan sempena Hari Kemahiran KEMAS Jelebu di Dewan Terbuka Felda Pasoh 4, Jelebu. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

JELEBU: Dakwaan beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang dikendalikan Barisan Nasional (BN) ditutup selepas parti itu tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Negeri Sembilan disifatkan 'amat mengecewakan'.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga calon BN bagi DUN Pertang bagaimanapun tetap yakin beberapa PDM berkenaan akan kembali beroperasi beberapa hari lagi.

Ahli Parlimen Jelebu itu akan menyantuni ahli UMNO dalam DUN Klawang bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

"Itu (PDM tidak beroperasi) agak mengecewakan tetapi saya yakin, orang tua-tua kata dia gaduh mula-mula, lama-lama dia akan baik.

"Bila kita baru berkahwin ini, kadang-kadang kita tak faham satu sama lain. Bila kita tak faham satu sama lain ini, dia ambil masa sedikit nak memahami.

"Masa yang diambil itu tak lama, mungkin dalam tempoh satu dua hari ini eloklah dia (PDM tidak beroperasi) itu. Jadi, rungutan kekecewaan orang Klawang kerana UMNO tak bertanding di situ akan difahami. Orang Klawang akan faham, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Jelebu di Felda Pasoh 4, hari ini.

Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, DUN Klawang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Bakri Sawir (PH), Danni Rais (PN) dan Muhammad Adib Musa (BERSATU).

Dalam pada itu, Jalaluddin menafikan dakwaan menggunakan KEMAS untuk berkempen dalam PRN Negeri Sembilan, malah menegaskan tidak mengambil kesempatan terhadap mana-mana agensi kerajaan.

"Program ini adalah program tahunan yang telah pun ditakwimkan sejak awal. Kita ada program komuniti masyarakat, kita ada program sukan rakyat, kita ada program kenduri rakyat dan baru-baru ini kita ada program hari potensi.

"Ini adalah program KEMAS yang telah pun ditakwimkan awal. Secara kebetulan dalam takwim itu berlangsung ketika kempen pilihan raya saya.

"Jadi saya nak minta pihak tertentu, jangan jadikan itu sebagai satu isu bahawa saya menggunakan KEMAS untuk berkempen," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan