BH Online
Ringkasan Berita

FAMA unjur nilai intervensi beli hasil pertanian cecah RM60 juta

SELAYANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengunjurkan nilai intervensi bagi pembelian hasil pertanian meningkat kepada RM60 juta tahun ini berbanding kira-kira RM40 juta pada tahun lalu susulan lambakan pengeluaran durian dan buah-buahan bermusim.
FAMA unjur nilai intervensi beli hasil pertanian cecah RM60 juta

Orang ramai mendapatkan buah durian di Pusat Operasi FAMA Kuala Terengganu.

SELAYANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengunjurkan nilai intervensi bagi pembelian hasil pertanian meningkat kepada RM60 juta tahun ini berbanding kira-kira RM40 juta pada tahun lalu susulan lambakan pengeluaran durian dan buah-buahan bermusim.

Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA, Faisal Iswardi Ismail, berkata peningkatan itu bagi mengelak pekebun dan pengeluar mengalami kerugian susulan lambakan hasil pertanian yang menyebabkan kejatuhan harga, sekali gus memastikan lebihan bekalan dapat dipasarkan dengan lancar.

Beliau berkata, daripada unjuran RM60 juta itu, sebahagian besarnya membabitkan pembelian dan pemasaran hasil sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan.

"Tahun lalu, FAMA membelanjakan sekitar RM40 juta dan unjuran tahun ini dijangka meningkat kepada RM60 juta berikutan lambakan durian serta peningkatan pengeluaran hasil buah-buahan lain yang jauh lebih tinggi.

"Setakat Mei lalu saja, nilai pembelian buah-buahan dan sayuran sudah mencecah RM21 juta berbanding RM26.5 juta bagi keseluruhan tahun lalu," katanya kepada BH.

19bhfama3
Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA, Faisal Iswardi Ismail. - Foto NSTP

Faisal Iswardi berkata, FAMA tidak berfungsi sebagai entiti komersial, sebaliknya melaksana intervensi pasaran bagi membantu pengeluar ketika berlaku lambakan bekalan.

"Kita membeli bekalan daripada pekebun kecil bukan untuk bersaing dengan industri, tetapi mengambil langkah memastikan mereka tidak mengalami kerugian akibat lambakan hasil pertanian pada satu masa.

"Contohnya, lambakan durian yang berlaku sekarang disebabkan pokok yang ditanam ramai pengusaha lima tahun lalu berbuah serentak dan pada masa sama, pokok sedia ada juga mengeluarkan hasil.

"Jadi, jika FAMA tidak buat intervensi, lambakan buah ini akan rosak dan merugikan pekebun. Keadaan sama juga kita lakukan jika penghasilan sayuran tinggi berbanding permintaan.

"Bagaimanapun, FAMA perlu mencari pasaran pada hasil pertanian yang dibeli itu dengan mengagihkannya ke lokasi kurang bekalan supaya peruntukan kami laburkan itu boleh menjadi pusingan modal berterusan," katanya.

Faisal Iswardi berkata, FAMA menggunakan rangkaian pusat operasi, pasar tani dan outlet pemasaran diterajuinya di seluruh negara bagi memastikan hasil pertanian dibeli dapat diagihkan dengan cepat sebelum rosak.

Selain itu, katanya, FAMA turut mengaktifkan semula beberapa pusat pemprosesan durian bagi menghasilkan pes dan tempoyak apabila bekalan segar melebihi keperluan pasaran.

Mengulas intervensi pemasaran durian pada tahun ini, beliau berkata, FAMA menyasarkan pembelian 1,000 tan durian dengan nilai RM7 juta sepanjang musim pengeluaran yang kemuncaknya antara Jun hingga September.

"Sehingga 5 Julai lalu, FAMA membeli 354.3 tan durian bernilai RM2.2 juta secara terus daripada pekebun dan pengumpul.

"Langkah intervensi belian dibuat berdasarkan trend dua tahun kebelakangan ini yang memperlihatkan ada lambakan hasil durian premium dan ini secara tidak langsung turut menyebabkan harga durian kampung terjejas," katanya.

Faisal Iswardi berkata, FAMA juga mengambil langkah membuka 90 lokasi jualan sementara di seluruh negara dan 60 pusat belian sementara di kawasan pengeluaran bagi memperluaskan saluran pemasaran buah-buahan bermusim.

"Tiga negeri mencatatkan lambakan durian iaitu Pahang, Perak dan Johor yang menyebabkan kejatuhan harga pada peringkat ladang," katanya.

Beliau berkata, intervensi dilakukan FAMA memberi keutamaan kepada pekebun kecil terutama pengusaha durian kampung yang layak menikmati harga lantai RM2.70 sekilogram pada peringkat ladang di bawah mekanisme ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Apabila harga durian premium seperti Musang King jatuh, ia turut menjejaskan harga durian kampung. Sebab itu kita fokus pekebun kecil supaya mereka masih ada saluran pemasaran dan tidak mengalami kerugian besar," katanya.

Beliau berkata, pekebun tidak diwajibkan menjual kepada FAMA, sebaliknya hanya memberi pilihan apabila harga di ladang merosot.

"Bagi memastikan hasil dibeli dapat dipasarkan dengan cepat, FAMA menggerakkan 42 pusat operasi di seluruh negara, selain memanfaatkan rangkaian pasar tani, usahawan dan lebih 1,600 rangkaian runcit sebagai saluran pengedaran.

"Selain itu, jumlah lokasi jualan khas durian turut ditambah kepada 90 berbanding 71 sebelum ini bagi menyerap lebihan bekalan sepanjang musim kemuncak," katanya.

Mengulas kebimbangan hasil pertanian rosak sebelum sempat dijual, Faisal Iswardi berkata, perkara itu dapat diminimumkan melalui agihan pantas ke rangkaian pemasaran sedia ada.

"Setakat ini, peratusan hasil rosak sangat kecil kerana kita mempunyai sistem audit dan pemantauan. Apa yang dibeli perlu dipasarkan semula dengan segera," katanya.

Dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan, beliau berkata, FAMA mula mengaktifkan semula 14 pusat pemprosesan yang sebelum ini kurang digunakan bagi memproses lebihan hasil kepada produk seperti pulpa dan pes buah mengikut keperluan pasaran.

Video Terkini

Berita Berkaitan