BH Online
Ringkasan Berita

'Saya nak tumpu bina rumah tangga, soal politik kemudian'

MUAR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman kini berterus-terang beliau mahu menumpukan kepada fasa baharu dalam hidupnya iaitu membina rumah tangga berbanding memimpin parti politik.
'Saya nak tumpu bina rumah tangga, soal politik kemudian'

Syed Saddiq ketika berucap menyampaikan bantuan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Muar, hari ini. - Foto NSTP/Alias Abd Rani

MUAR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman kini berterus-terang beliau mahu menumpukan kepada fasa baharu dalam hidupnya iaitu membina rumah tangga berbanding memimpin parti politik.

Malah, beliau juga belum memikirkan soal sama ada mahu memimpin semula partinya Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas dibebaskan daripada tuduhan di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Syed Saddiq, 33, berkata, keputusan berkaitan MUDA itu dibuat selepas lebih 10 tahun memberikan fokus kepada perjuangan politik tanpa henti sejak 2014.

"Sejujurnya sekarang saya mahu fokus membina rumah tangga terlebih dahulu. Ini bukan jawapan selamat, ini jawapan yang jujur dan ikhlas, memang daripada hati ke hati.

"Sejak saya mula berpolitik pada 2014 atau 2015, saya tidak berhenti-henti. Dalam tempoh itu bukan saya seorang melaluinya, satu keluarga lalui perkara sama," katanya ketika selepas menyampaikan bantuan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Muar di sini, hari ini.

Turut hadir ialah tunang Ahli Parlimen itu yang juga artis, Bella Astillah.

Pada November 2023, Syed Saddiq mengumumkan mengosongkan jawatan Presiden MUDA berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan beliau membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah yang dihadapi.

Syed Saddiq turut memaklumkan tidak akan terbabit dalam politik MUDA sepanjang tempoh berdepan kes di mahkamah.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan akan terus mendukung MUDA sebagai ahli dan kekal bekerjasama dengan ahli lain.

Dalam perkembangan lain, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, beliau tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen untuk menjalankan amanah yang diberikan rakyat.

"Tanggungjawab di Parlimen dan tanggungjawab sebagai ahli biasa MUDA tetap akan saya laksanakan selagi Parlimen tidak dibubarkan.

"MUDA hari ini dipimpin oleh Amira Aisya (Abd Aziz). Ini bukan soal parti milik saya sahaja kerana ada proses pemilihan yang perlu dilalui," katanya.

Lima hari lalu, Syed Saddiq dilaporkan berkata tarikh pernikahannya dengan tunangnya, iaitu penyanyi dan pelakon, Bella Astillah sudah diputuskan keluarga, namun, dirahsiakan buat masa ini.

Syed Saddiq berkata, mereka belum sedia mengumumkan tarikh pernikahan kerana mahu perkara itu diketahui keluarga dan kenalan rapat terlebih dahulu. Setakat ini, selain ibu bapa, adik beradiknya dan Bella tahu mengenai tarikh pernikahan itu.

Selain itu, majlis resepsi dijangka diadakan di beberapa lokasi di Sabah dan Johor, bagi meraikan kedua-dua belah keluarga.

Video Terkini

Berita Berkaitan