IPOH: Kementerian Komunikasi mahu semua pihak memastikan imej Jalur Gemilang yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) adalah tepat, tiada kesilapan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata mana-mana pihak yang melakukan kesalahan kandungan atau tersalah mengibarkan bendera kebangsaan itu akan dikenakan tindakan.
"Kita galakkan bagi program Kibar Jalur Gemilang ini rakyat mengambil sedikit masa untuk mendapat maklumat tentang tatacara mengibarkan Jalur Gemilang yang betul dan juga sentiasa berhati-hati menjana kandungan menggunakan kecerdasan buatan ataupun AI supaya tidak ada kesilapan ataupun kekurangan 14 jalur pada Jalur Gemilang.
"Kita juga akan bekerjasama dengan pihak MPI (Institut Akhbar Malaysia) dan Majlis Media Malaysia untuk berbincang dengan syarikat media, pastikan sepanjang Bulan Kebangsaan ini apa-apa representasi Jalur Gemilang terutama yang dihasilkan melalui AI dihasilkan dengan betul," katanya pada sidang media selepas Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
Fahmi berkata, mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan sedemikian akan diberi nasihat terlebih dahulu sebelum dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
"Ada aktanya tersendiri tapi kita akan ambil langkah pertama iaitu menasihatkan dan kita akan cuba berhubung dengan mana-mana pihak yang didapati tersalah menghasilkan kandungan ataupun tersalah mengibarkan jalur gemilang untuk memperbetulkan kesilapan.
"Sekiranya tidak dibetulkan atas apa-apa sebab kita akan teliti apa tindakan susulan yang wajar diambil," katanya.
Sementara itu, berucap pada program itu, Fahmi berkata, sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 akan dilaksanakan secara berhemah dengan mengoptimumkan sumber sedia ada tanpa menjejaskan usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, sejajar itu inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang akan diteruskan bagi menyemarakkan lagi kibaran jalur gemilang pada bulan Kemerdekaan nanti.
"Walaupun sambutan tahun ini dilaksanakan secara berhemah dengan mengoptimumkan sumber yang ada, semangat patriotisme dan penghayatan terhadap erti kemerdekaan tetap menjadi keutamaan.
"Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang juga terus dipergiatkan bagi menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan, perpaduan dan kebanggaan negara," katanya.
Beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 bertemakan "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" menggambarkan komitmen kerajaan memastikan setiap hasil pembangunan negara dinikmati secara adil, saksama dan inklusif oleh seluruh rakyat.
























