MUAR: Larian Kesyukuran Muar yang dijalankan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sejak empat hari lalu yang berakhir pagi ini, berjaya merekodkan kutipan RM650,959.21, lebih tiga kali ganda daripada sasaran awal RM200,000.
Syed Saddiq menegaskan pihaknya tidak sesekali menggunakan wang kutipan terbabit, sebaliknya akan diagihkan sepenuhnya kepada penerima layak dalam daerah ini.
Beliau berkata, wang yang diamanah oleh rakyat itu tidak sesekali akan digunakan termasuk membiayai segala urusan kakitangan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar.
"Sebab itu saya katakan, kita akan berikan komitmen sepenuhnya, ketelusan 100 peratus. Malah kita akan sediakan laporan pembentangan resit yang dibelanjakan bagi fasa pertama pada malam ini.
"Kita nak pastikan setiap sen yang dikutip disalurkan semula kepada warga Muar. Mengikut amalan biasa NGO (pertubuhan bukan kerajaan), kita boleh gunakan sehingga 30 peratus daripada kutipan itu untuk belanjakan pentadbiran.
"Namun, saya sudah arahkan pasukan saya supaya jangan sesekali ambil setiap satu sen pun kutipan itu. Kita kena pulangkan 100 peratus kepada mereka.
"Gaji mereka (kakitangan), saya akan bayar gunakan duit sendiri atau saya akan cari jalan lain yang pasti kita tidak sesekali menggunakan duit ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar.
Hadir sama, tunangnya yang juga pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.
Dalam pada itu, Syed Saddiq beliau juga akan mengumumkan beberapa lagi bantuan termasuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada golongan muda agar mereka dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Syed Saddiq yang menamatkan larian sejauh 170 kilometer (km) pagi tadi turut terhutang budi kepada warga Muar kerana memberi sokongan kepadanya.
Katanya, ketika berada pada kedudukan 10 km dari lokasi penamat, beliau menerima sokongan pelbagai lapisan masyarakat walaupun dalam keadaan cuaca panas.
"Mereka sanggup tunggu dan apabila sampai ke Laman Maharani, saya agak terkejut melihat lautan manusia dari kiri dan kanan, hingga saya sendiri boleh bergerak.
"Saya rasa kadangkala kepenatan, otot nak kejang, adakala nak pengsan tapi kerana sokongan diberikan sedikit sebanyak menambahkan tenaga untuk saya meneruskan larian selama empat hari.
"Pada peringkat awal kita sasarkan RM200,000 tapi kita berjaya merekod kutipan lebih tiga kali ganda daripada sasaran kita letakkan. Mereka adalah rakyat biasa walhal, mereka tak perlu beri sumbangan ramai.
"Kebanyakan mereka bukan dari Muar tapi kita rakyat Malaysia, mereka ingin membantu bukan untuk saya tapi rakyat Muar yang memerlukan bantuan," katanya.
























