BH Online
Ringkasan Berita

Nicole tumpu trend tak keluar mengundi

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan, meletakkan misi utama untuk mendekati golongan pengundi muda bagi memastikan peratusan keluar mengundi tinggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.
Nicole tumpu trend tak keluar mengundi

Nicole Tan, penyandang DUN Bukit Kepayang

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan, meletakkan misi utama untuk mendekati golongan pengundi muda bagi memastikan peratusan keluar mengundi tinggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.

Nicole yang juga penyandang kerusi itu berkata, golongan muda adalah kumpulan terbesar yang dikategorikan sebagai pengundi atas pagar dan sering kali memilih untuk tidak menunaikan tanggungjawab mengundi di kawasan itu.

"Selain merangka program khusus yang mampu menarik perhatian mereka, saya harap ibu bapa yang ada anak-anak generasi muda atau 'Gen Z' turut berperanan memberi penjelasan mengenai situasi politik semasa.

"Kita mahu memberi kesedaran mengapa penting untuk keluar mengundi demi memastikan perubahan positif dalam kehidupan," katanya ketika ditemui selepas berkempen di sini.

Selain tumpuan kepada golongan muda, Nicole komited untuk meneruskan agenda kebajikan membabitkan golongan rentan dan ibu tunggal, selaras dengan pengalamannya yang pernah memegang portfolio Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pencalonan semula kali ini sebagai satu amanah besar dan menganggapnya sebagai penggal '2.0'.

"Saya rasa ini seperti bukan penggal ketiga tetapi ini seperti penggal kedua. Perasaan saya agak bercampur-baur. Saya ibarat pelari maraton yang sebelum ini 'terpelanting' di tengah jalan disebabkan pelbagai cabaran yang dihadapi. Sekarang, saya mahu bangun semula untuk meneruskan larian itu," katanya.

Mengulas mengenai cabaran berdepan calon muda daripada pihak lawan, Nicole menegaskan beliau tidak akan memandang rendah keupayaan pesaingnya, namun tetap mempertaruhkan pengalaman dan rekod perkhidmatannya sebagai kelebihan utama.

"Saya akan berkempen secara demokratik dengan menggunakan rekod prestasi (track record) dan pengalaman saya sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

"Saya percaya pengundi muda tidak hanya memilih calon kerana faktor usia semata-mata, sebaliknya mereka lebih tertarik kepada topik atau isu yang relevan dengan kehidupan mereka," katanya.

Ditanya mengenai keyakinan untuk menang, beliau menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengundi di Bukit Kepayang.

"Saya tidak mahu masuk bakul angkat sendiri. Saya cuma berharap diberi mandat sekali lagi oleh penduduk di sini untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat mereka," katanya.

Nicole berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Lee Boon Shian.

Video Terkini

Berita Berkaitan