JELEBU: Meskipun berdepan saingan 'heavyweight', calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Siow Kong Choon yakin mampu memberi tentangan sengit berdepan pesaingnya Anthony Loke mewakili Pakatan Harapan (PH).
Dalam saingan satu lawan satu itu, Kong Choon yang mesra dengan panggilan John, 38, mengakui lawannya memiliki sumber, kuasa dan kedudukan tinggi di peringkat negeri dan Persekutuan.
"Saya memang berdepan lawan yang kuat memandangkan beliau adalah menteri, Setiausaha Agung DAP, Ahli Parlimen Seremban serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah selama tiga penggal.
"Jika dilihat dari satu sudut, beliau mempunyai segala kelebihan. Bagaimanapun, dengan segala tanggungjawab dan komitmen besar membabitkan urusan parti dan kementerian, pastinya masa beliau tidak cukup untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kawasan ini.
"Jadi, saya menawarkan diri selaku anak tempatan untuk menjaga kawasan ini dengan lebih baik," katanya ketika ditemui pada program ramah mesra di sekitar Kampung Titi di sini, hari ini.
Kong Choon yang juga anak jati Kampung Baru Hosapa Titi berkata, wakil rakyat perlu sentiasa mudah dihubungi ketika rakyat memerlukan bantuan.
"Mungkin dari segi kedudukan saya tidak setanding dengan Loke tetapi saya percaya rakyat memerlukan seorang ADUN tempatan untuk berkhidmat di kawasan ini.
"Sebagai calon BN, saya menawarkan diri bagi berkhidmat kepada setiap rakyat di kawasan ini," katanya.
Kali pertama disenaraikan sebagai calon, Kong Choon berpengalaman luas dalam membantu jentera BN berkempen sejak Pilihan Daya Umum ke-13 (PRU-13).
"Tugas membantu jentera berkempen membuatkan saya mendapat pendedahan serta pengalaman yang boleh digunakan pada pilihan raya kali ini," katanya.
Beliau mahu mengetengahkan industri pertanian dan pelancongan di kawasan DUN Chennah bagi meningkatkan sumber ekonomi penduduk setempat.
"DUN Chennah berada di kawasan luar bandar yang mempunyai potensi tanah subur untuk hasil pertanian berkualiti yang boleh dijadikan sumber ekonomi dan pelancongan.
"Kawasan ini berpotensi dibangunkan industri pertanian biodiversiti. Keindahan alam semula jadinya boleh dijadikan sebagai tumpuan industri pelancongan dan menjana sumber pendapatan sampingan penduduk tempatan," katanya.
Beliau berkata, wujud keperluan melatih usahawan muda dan golongan belia terbabit secara langsung dalam pertanian moden dan digital supaya tidak perlu berpindah, sekali gus membina masa depan lebih baik.
























