SEREMBAN: Persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dilaksanakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah usaha penting demi memastikan masa depan bangsa dan agama terus terpelihara.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata usaha itu pernah dimulakan pada 2018, namun gagal diteruskan.
"Saya buat satu persefahaman yang bagi saya amat penting bagi bangsa dan agama kita. Di Negeri Sembilan saya mulakan pada 2018 tapi entah macam mana tak jadi, setengah jalan tak jadi.
"Saya katakan bahawa kalau kita tak buat kali ini, kita akan 'miss the boat' (terlepas peluang). Kita akan kecewa kerana anak cucu kita akan menjadi sebagai orang yang berdagang di tanah air. Saya tak mahu itu berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Karnival Hari Keluarga Pangkalan Udara Sendayan di sini, hari ini.
Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berkata, usaha berkenaan perlu dimulakan sekarang kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan peluang itu hilang buat selama-lamanya.
"Dan kalau kita tak mulakan hari ini kita akan terlepas peluang itu untuk selama-lama. Maka di Negeri Sembilan saya bawa persefahaman supaya bersatulah. Itulah masa depan anak cucu kita dan mari kita sama-sama menjayakan apa yang dilakukan pada kali ini," katanya.
Pada program sama, Mohamad turut berkongsi bagaimana pembangunan Sendayan yang pernah terbengkalai akibat kegawatan ekonomi akhirnya berjaya diselesaikan selepas beliau mencari kaedah bagi menyelesaikan isu pampasan kepada penduduk.
Beliau yang juga calon BN bagi DUN Rantau berkata, pembangunan yang dirancang itu kini menjadikan Sendayan sebagai antara kawasan perumahan yang berkembang pesat sehingga menarik pembeli dari luar Negeri Sembilan.
"Hari ini, Sendayan menjadi sebagai apa dipanggil sebagai Damansara di Seremban. Alhamdulillah satu pembangunan yang saya sendiri rancang," katanya.
Mohamad berkata, setiap aspek pembangunan kawasan itu turut dirancang dengan teliti termasuk reka bentuk perumahan dan kemudahan awam supaya memberi keselesaan kepada penduduk.
























