GUA MUSANG: Kira-kira 600 penduduk Taman Wangsa Mewangi di sini gempar dengan kemunculan dua ekor gajah liar di kawasan itu awal pagi tadi.
Kehadiran dua ekor gajah liar itu sempat dirakam oleh seorang penduduk kira-kira jam 2 pagi sebelum memaklumkan kepada penduduk dalam kumpulan WhatsApp penduduk.
Azizul Rahman Hamzah, 50, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian terbabit oleh seorang rakan pada awal pagi tadi sebelum merekod video gajah liar terbabit.
Katanya, kemunculan dua ekor gajah liar di kawasan itu dan berhampiran rumah penduduk adalah yang kali pertama selama lima tahun dia tinggal di kawasan itu.
"Sebelum kejadian saya bersama beberapa rakan sedang bersembang di hadapan rumah, tiba-tiba salah seorang rakan ternampak gajah liar itu dan memaklumkan kepada kami kerana ia berhampiran kawasan rumah.
"Jarak tempat gajah liar dengan rumah saya kira-kira 100 meter sahaja dan jarak dengan jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis hampir 500 meter. Sekarang gajah pun sudah berkeliaran dalam bandar Gua Musang.
"Saya harapan tindakan segera dapat diambil kerana ia membabitkan keselamatan penduduk di kawasan perumahan ini dan orang ramai," katanya ketika ditemui di Taman Wangsa Mewangi, di sini, hari ini.
Penduduk, Mah Swee Ha, 65, berkata dia menyedari kejadian terbabit pagi tadi apabila dimaklumkan melalui kumpulan WhatsApp penduduk.
Katanya, dia sangat terkejut dengan kejadian terbabit kerana kemunculan dua ekor gajah liar itu hanya kira-kira 20 meter daripada rumah.
"Bila ada berlaku kejadian seperti ini kami penduduk risau sekiranya gajah liar ini datang lagi dan berkeliaran di taman perumahan sehingga boleh membahayakan keselamatan penduduk.
"Kawasan ini adalah dalam bandar Gua Musang dan tempat tumpuan orang ramai, jadi sangat membahayakan keselamatan," katanya.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Wangsa Mewangi, Abdullah Hussein, 54, berkata kehadiran gajah liar terbabit turut merosakkan tanaman Projek Sejati Madani yang diusahakan penduduk.
Katanya, sebanyak lebih 20 pokok pisang dirosakkan gajah terbabit selain pokok kelapa.
"Kehadiran gajah liar ini membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana gajah sudah mula masuk kawasan bandar. Jadi tindakan segera perlu diambil untuk menangani masalah ini.
"Pihak PERHILITAN juga sudah datang dan memantau lokasi kejadian. Terima kasih kepada PERHILITAN kerana bertindak pantas atas aduan penduduk," katanya.
























