IPOH: Kemerdekaan negara yang dikecapi hari ini tidak mungkin tercapai tanpa wujudnya semangat perpaduan dan pengorbanan bersama oleh pelbagai kaum di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
”‹Perdana Menteri berkata walaupun semangat kebangsaan Melayu dan kedudukan Bumiputera adalah teras atau pangkal kepada asas kenegaraan, peranan serta penyertaan kaum-kaum lain sama sekali tidak boleh dipinggirkan.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, penyatuan antara kaum Melayu, Cina, India, serta kaum-kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak adalah kunci utama kepada kemerdekaan mutlak negara, justeru rakyat perlu merenung kembali lipatan sejarah perjuangan terdahulu.
"Mahu memberi makna kemerdekaan dan menjayakan negara ini, kekuatan Melayu harus ada. Kekuatan Melayu bersama Cina, India, Dayak, Kadazan itu juga harus ada.
"Jangan izinkan orang memperkotak-katik dan memecahbelahkan kita, kerana negara ini merdeka dengan kekuatan bersama semua rakyat Malaysia. Mengapa harus itu dipertikai dan dipecah belahkan, kita tidak boleh kita nafikan.
"Sebab itu mengapa tokoh dan negarawan seperti Tunku Abdul Rahman pilih moto "Bersekutu Bertambah Mutu." Mengapa anak-anak generasi sekarang ada yang fikir mesti berpecah atau terpengaruh dengan sentimen dan hasutan kelompok politik mana pun?" katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar berkata semangat perpaduan dan amalan bekerjasama dalam kalangan rakyat Malaysia sepatutnya digunakan untuk meningkatkan mutu kehidupan masyarakat dan bukannya membentuk pakatan jahat dan merompak kekayaan atau mencuri hasil negara.
Memetik kisah klasik filem Ali Baba Bujang Lapuk arahan Tan Sri P Ramlee mengenai kumpulan 40 penyamun, Anwar mengingatkan semua pihak agar tidak menyalahgunakan konsep muafakat untuk tujuan yang membinasakan integriti dan kekayaan negara.
"Macam dalam filem yang 40 penyamun itu. Bersatu untuk meningkatkan mutu kehidupan, bukan bersatu untuk merompak dan curi balak dan harta.
"Sebab itu dalam negara MADANI ini kita tambah dari sudut kecerdasan buatan (AI) dan kita mahu negara ini menjadi hebat dan berjaya dengan semikonduktor, pengkomputeran kandungan dan AI," katanya.
Katanya transformasi ekonomi pesat yang sedang berlaku di Perak yang pernah suatu ketika terkenal sebagai pengeluar utama bijih timah wajar dipuji apabila Perak kini sedang mengorak langkah untuk diangkat menjadi antara kota pengeluaran kenderaan paling hebat serta pusat pertumbuhan bagi teknologi baharu khususnya dalam sektor teknologi hijau di rantau ini.
"Dengan perkembangan teknologi sebegini, bukan pula bermakna kita meninggalkan (bidang seperti) pertanian kerana pelbagai bidang lain itu semua juga perlu," katanya.
Katanya lagi, hasil daripada pengurusan kewangan berhemah dan semangat perpaduan yang jitu, Malaysia kekal menjadi antara negara yang menawarkan harga runcit minyak RON95 dan diesel paling rendah di dunia ketika ini biarpun keupayaan pengeluaran petroleum Malaysia tidak sehebat negara-negara pengeluar utama di negara Teluk.
Anwar berkata, kerajaan tetap komited menggunakan kekayaan hasil bumi secara adil demi menyemai serta memaknai erti kemerdekaan yang sebenar kepada rakyat, dengan komitmen itu dibuktikan melalui penerusan pelbagai program bantuan sosial berskala besar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
























