BH Online
Ringkasan Berita

Ramalan Super El Nino perlu jadi amaran awal, persediaan rapi

KUALA LUMPUR: Ramalan negara berkemungkinan berdepan fenomena Super El Nino mulai November depan perlu dipandang serius dan dijadikan satu amaran awal untuk negara membuat persediaan rapi.
Ramalan Super El Nino perlu jadi amaran awal, persediaan rapi

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Ramalan negara berkemungkinan berdepan fenomena Super El Nino mulai November depan perlu dipandang serius dan dijadikan satu amaran awal untuk negara membuat persediaan rapi.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata fenomena itu dijangka membawa cuaca lebih panas daripada biasa, tempoh kemarau berpanjangan, pengurangan taburan hujan serta meningkatkan risiko kebakaran hutan, kebakaran tanah gambut dan jerebu.

Beliau berkata, pengalaman lalu menunjukkan El Nino bukan sekadar menyebabkan cuaca panas, malah memberi kesan besar kepada bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan, kesihatan awam, alam sekitar dan ekonomi negara.

"Golongan warga emas, kanak-kanak, pekerja luar serta individu yang menghidap penyakit kronik juga antara kumpulan yang paling berisiko mengalami masalah kesihatan akibat cuaca panas melampau.

"Sehubungan itu, semua pihak perlu mengambil langkah proaktif dengan memperkukuhkan pengurusan sumber air melalui penjimatan air, pengurangan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW), peningkatan kapasiti takungan serta penyediaan pelan kecemasan bagi kawasan yang berisiko mengalami gangguan bekalan air.

"Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan bagi mencegah pembakaran terbuka serta kebakaran hutan dan tanah gambut perlu dijalankan.

"Dalam masa yang sama, sektor kesihatan perlu bersiap siaga dengan mengeluarkan amaran awal mengenai risiko cuaca panas, memperluaskan kempen kesedaran awam dan memastikan kemudahan rawatan bersedia menghadapi kes berkaitan strok haba dan dehidrasi," katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) segera menyediakan langkah mitigasi bagi menghadapi fenomena Super El Nino yang diramal melanda Malaysia bermula November ini.

Beliau dilaporkan berkata langkah itu penting bagi mengurangkan impak fenomena berkenaan terhadap pengeluaran makanan negara, selain memastikan komuniti petani terus dilindungi.

Lam Thye berkata, sektor pertanian juga perlu dibantu melalui penggunaan teknologi pengairan yang lebih cekap, penanaman variasi tanaman yang tahan kemarau serta pemberian bantuan kepada petani yang terjejas.

"Bekalan elektrik juga perlu kekal stabil bagi menampung peningkatan penggunaan tenaga ketika cuaca panas.

"Penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta dan masyarakat perlu diperkukuh bagi memastikan pelan tindakan dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.

"Persediaan awal sentiasa lebih baik daripada bertindak selepas bencana berlaku. Dengan perancangan yang teliti, kerjasama semua pihak dan tindakan pantas, negara mampu mengurangkan kesan Super El Nino serta melindungi kesejahteraan rakyat, ekonomi dan alam sekitar," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan