JELEBU: "Kirim salam ayah".
Demikian sapaan mesra calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir supaya sepupunya, Danni Rais menyampaikan salamnya kepada Tan Sri Dr Rais Yatim.
Danni yang mewakili Parti Wawasan Negara (WAWASAN) bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) akan menentang Bakri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos nanti.
Pesanan secara spontan berkenaan diungkapkan penyandang kerusi DUN Klawang itu apabila terserempak sepupunya ketika beliau dan Danni berkempen di Pasar Minggu Kuala Klawang, di sini hari ini.
Mereka turut bersalaman dan sempat berbual beberapa minit sebelum Bakri menitipkan salam melalui Danni kepada bapa calon PN berkenaan yang juga bapa saudaranya.
Bakri, 67, mengakui tidak mempunyai masalah bertegur sapa dengan sepupunya itu sekiranya bertembung dalam mana-mana kempen.
"Hubungan kekeluargaan tetap utuh biarpun kami berlainan ideologi politik," katanya yang menjaga kecergasan dengan bersenam, termasuk berjalan kira-kira 700 meter dari rumah ke Masjid Jamek Kuala Klawang untuk solat Subuh berjemaah setiap hari.
Beliau yang turut aktif melakukan aktiviti pendakian selain menjaga pemakanan, berharap dapat menghabiskan jadual padat kempen sepanjang dua minggu ini dengan baik dan kekal sihat.
Menyentuh aspek pembangunan di Kuala Klawang, Bakri berkata, ada beberapa perancangan akan diteruskan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di DUN Klawang bagi penggal ketiga.
Katanya, hentian rawat dan rehat (RnR) serba moden di Kampung Tembun yang menjadi perancangan sebelum ini akan diteruskan selepas terhenti akibat status tanah.
"Ada beberapa isu perlu diselesaikan sebelum pembinaan RnR serba lengkap itu dapat dimulakan, sekali gus membolehkan Kuala Klawang mempunyai hentian kepada pengguna jalan raya.
"Tanah seluas kira-kira empat hektar itu didapati berstatus tanah rizab Melayu, jadi kita terpaksa tangguh dahulu rancangan berkenaan sebelum ini," katanya
























