KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mempersoalkan tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang hanya menyasarkan Barisan Nasional (BN) bagi kerjasama persefahaman dengan parti luar kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata persefahaman itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana formula di PRN Negeri Sembilan pernah juga dilaksanakan ketika di Sabah.
"Saya hendak tanya pada dia, ketika PRN Sabah, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) lawan PH (Pakatan Harapan), walaupun WARISAN adalah sebahagian daripada kerajaan Pusat malah ada timbalan menteri dari GRS juga lawan gabungan PH.
"Tetapi ketika itu, tiada pun dengar suara atau cadangan untuk hendak mengkaji hubungan pula," katanya kepada BH, di sini.
Semalam, Muhammad Kamil menggesa PH mengkaji semula kerjasama politik dengan BN dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat susulan tindakan gabungan pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
Gesaan sama turut disuarakan Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Hasbie Muda yang berpandangan BN tidak mempunyai alasan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya benar wujud kerjasama politik dengan PN.
Pada masa sama, Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya turut mempersoalkan sama ada Muhammad Kamil akan menggesa perkara sama ketika PRN Sarawak nanti.
"PRN Sarawak tidak lama lagi, sudah pasti GPS (Gabungan Parti Sarawak) akan lawan PH di sana, maka hendak kaji juga ke hubungan PH dengan GPS di peringkat Persekutuan?," katanya.
Dr Muhamad Akmal berkata, beliau tetap konsisten daripada dulu supaya UMNO dan BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan kerana tanpa gabungan parti itu, pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu masih boleh berjalan seperti biasa.
"Seperti dalam ucapan saya di Konvensyen Khas Pemuda UMNO...kita tidak mahu tebuk atap, sebab kalau BN keluar, kerajaan masih jalan seperti biasa," katanya.
Melalui PRN Negeri Sembilan, BN bertindak bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 36 yang ada.
Sementara baki 11 kerusi lagi ditandingi oleh PN termasuk lima oleh PAS dan WAWASAN (empat).
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyifatkan kerjasama dengan PN pada PRN Negeri Sembilan ke-16 adalah satu persefahaman dan bukan perjanjian atau kesepakatan.
























