BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: Persefahaman BN, PN bagi elak pertembungan, jentera diingatkan usah sabotaj kempen

TAMPIN: Persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Tampin bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bertujuan mengelak pertembungan dan tidak menjurus ke arah penyatuan politik kedua-dua gabungan.
PRN Negeri Sembilan: Persefahaman BN, PN bagi elak pertembungan, jentera diingatkan usah sabotaj kempen

Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (dua dari kiri) bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada majlis perjumpaan bersama jentera pilihan raya BN Tampin. - Foto FB

TAMPIN: Persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Tampin bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bertujuan mengelak pertembungan dan tidak menjurus ke arah penyatuan politik kedua-dua gabungan.

Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, berkata persefahaman itu membabitkan DUN Gemas yang menyaksikan BN memberi laluan kepada calon Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mewakili PN untuk berdepan BERSATU dan calon Pakatan Harapan (PH).

"Persefahaman ini diwujudkan khusus bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan. Kalau persefahaman ini berjalan dengan baik, soal penyatuan mungkin boleh dibincang kemudian, tetapi itu bukan fokus kita ketika ini," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui di Bangunan UMNO Tampin, di sini. Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir berjumpa jentera pilihan raya BN bahagian berkenaan.

Mohd Isam yang juga Ahli Parlimen Tampin mengakui ada segelintir jentera BN di DUN Gemas kecewa pada awalnya kerana parti tidak meletakkan calon sendiri, tetapi mereka akhirnya akur selepas diberi penjelasan mengenai kepentingan persefahaman berkenaan.

Beliau berkata, semua bilik gerakan BN di DUN Gemas akan terus beroperasi bagi membantu kempen calon PN sebagai sebahagian daripada persefahaman yang dipersetujui.

"Kita tidak mahu berlaku sabotaj. Kita perlu saling membantu kerana matlamat kita ialah memastikan ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Tampin dapat dimenangi," katanya.

Mengulas kebimbangan wujud kekeliruan dalam kalangan pengundi susulan persefahaman itu, Mohd Isam menegaskan, dasar perjuangan BN tidak berubah walaupun bekerjasama dengan PN pada PRN kali ini.

Beliau berkata, hubungan BN bersama parti komponennya, iaitu MCA dan MIC juga kekal utuh, manakala persefahaman dengan PN terhad kepada strategi pilihan raya.

"Dasar BN dan PAS tetap berbeza, jangan salah faham. Apa yang ada hari ini hanyalah persefahaman untuk menghadapi pilihan raya, bukannya penyatuan politik.

"Kita tetap mempertahankan dasar-dasar BN dan menghormati komponen yang telah bersama kita sejak sekian lama," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak tidak memainkan sentimen agama dan kaum bagi meraih sokongan pengundi, terutama di Tampin yang disifatkannya sebagai kawasan yang warganya hidup dalam suasana harmoni.

"Jangan rosakkan keharmonian yang telah lama wujud di Tampin dengan memainkan sentimen agama atau kaum. Kita mahu pilihan raya ini berlangsung secara aman dan matang," katanya.

Mohd Isam turut mengarahkan semua jentera BN mengamalkan kempen berhemah dengan tumpuan kepada tawaran untuk rakyat tanpa menyerang peribadi lawan atau mencetuskan provokasi sepanjang tempoh berkempen.

Video Terkini

Berita Berkaitan