KUALA LUMPUR: PAS mengajak rakyat negara ini khususnya pengundi menyatakan sokongan terhadap kerjasamanya dengan UMNO, parti berteraskan Melayu-Islam lain termasuk dalam kalangan parti bukan Islam tidak ekstrem seperti MCA dan MIC.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata saranan yang diyakini boleh menyelamatkan Malaysia adalah berpandukan firman Allah SWT dan suri teladan Nabi Muhammad SAW.
"PAS mengajak kepada perubahan berteladankan Rasulullah SAW serta berasaskan kekuatan perpaduan Islam Arab dan bukan Islam yang tidak ekstrem.
"Hal ini dilaksanakan melalui umat Melayu Islam bersama Bumiputera dan bukan Islam bukan dalam kalangan Melayu yang tidak ekstrem berpandukan firman Allah SWT.
"Dahulukan PAS bersama UMNO, Barisan Nasional (BN), kumpulan Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem seperti MCA, MIC, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan lain-lain.
"Diikuti oleh Sarawak dan Sabah bagi menyelamatkan Malaysia yang tercinta ini," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut saranannya itu, Abdul Hadi berkata dalam konteks Malaysia, Melayu Islam wajib memimpin kerana adalah majoriti penganut beragama Islam.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu menasihatkan masyarakat khususnya pengundi menolak 'kumpulan luar tabii Melayu' yang bersama DAP.
"Di Malaysia, Melayu Islam wajib memimpin kerana mereka mendominasi penganut Islam.
"Kewujudan bangsa ialah sifat tabii ciptaan Allah bagi menguji manusia. Tolak kumpulan luar tabii Melayu yang bersama DAP, iaitu kumpulan sekular fanatik dan cauvinis ekstrem yang menjadi ancaman kepada Islam dan bangsa Melayu.
"Bukan kerana fanatik perkauman tetapi kerana Islam mewajibkan berlaku adil kepada semua manusia," katanya.
























