BH Online
Ringkasan Berita

Syed Saddiq berjaya tamat Larian Kesyukuran sejauh 170km dari Putrajaya ke Muar

MUAR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, berjaya menamatkan Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer bermula di Putrajaya dan berakhir di Laman Maharani, di sini sebentar tadi.
Syed Saddiq berjaya tamat Larian Kesyukuran sejauh 170km dari Putrajaya ke Muar

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahmanmenamatkan larian sejauh 170 kilometer di Laman Maharani, pagi ini. Foto Alias Abd Rani/NSTP

MUAR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, berjaya menamatkan Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer bermula di Putrajaya dan berakhir di Laman Maharani, di sini sebentar tadi.

Syed Saddiq tiba kira-kira jam 9.15 pagi selepas memulakan larian pada 16 Julai lalu.

Ketibaan beliau disambut ribuan warga Muar yang setia menanti sejak jam 8 pagi selepas Syed Saddiq memulakan larian dari Simpang Sungai Rambai, pada jam 7 pagi tadi.

Turut kedengaran "Hidup Muar, Hidup Muar" serta "Tahniah YB" daripada penyokong beliau.

Larian terakhir sejauh 17 kilometer pagi ini mengambil masa lebih dua jam sebelum tiba di lokasi penamat.

Beliau meneruskan larian pada hari terakhir bersama beberapa kumpulan pelari, termasuk Muo Runner.

Misi larian itu bermula pada 16 Julai lalu dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya menuju ke Muar, Johor dengan merentasi Negeri Sembilan dan Melaka.

Selain membawa matlamat kebajikan bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar, larian berkenaan turut menjadi simbolik tanda kesyukuran Syed Saddiq selepas melalui prosiding mahkamah untuk membersihkan nama.

Dana yang dikumpulkan menerusi larian itu akan disalurkan kepada dua inisiatif utama iaitu penyediaan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta pembelian iPad bagi membantu pelajar yang memerlukan akses kepada peranti pembelajaran.

Setakat semalam, larian itu berjaya mengumpul dana RM361,848 dalam tempoh dua hari, sekali gus melepasi sasaran asal RM200,000 yang ditetapkan.

Pada 13 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan membebaskan Syed Saddiq daripada dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta dan dua kesalahan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.

Video Terkini

Berita Berkaitan