KEPALA BATAS: Kupas kelapa guna siku mungkin kedengaran mustahil, namun itu antara syarat peribadi ditetapkan guru Silat Siku 12, Damshir Maaz, 54, bagi menilai kesungguhan individu yang mahu mempelajari ilmu mempertahankan diri asal Pulau Pinang itu.
Tenaga pengajar dari Pertubuhan Seni Silat Melayu Petir Warisan Shaik Dada Malaysia itu berkata, ujian awal itu bukan bertujuan mendera, sebaliknya menjadi penanda aras ketahanan mental bakal anak muridnya sebelum mendalami Silat Siku 12.
"Ada ambil masa sejam, ada sanggup datang sampai lima kali buat ujian baru dapat jadi anak murid. Ini syarat peribadi saya saja. Saya tidak mahu murid yang manja. Bagi murid yang sudah mahir, mereka mampu mengupas kelapa sepantas dua minit saja.
"Bagi saya, ia lebih kepada ujian ketahanan mental. Kalau mereka lulus syarat ini, kira mereka tahan lasak dan serius untuk belajar, peringkat seterusnya," katanya ketika ditemui di Gelanggang Dewan Masjid Jamek Al Jalal Wal Kamal di Pajak Song, di sini.

Damshir atau dipanggil Abang Adam dalam kalangan muridnya, berkata latihan Siku 12 menerapkan rutin disiplin konsisten, termasuk latihan memusing besi padat seberat 10 kilogram bagi menguatkan tangan, terutama bahagian siku dan bahu.
Silat Siku 12 atau nama asalnya Silat Pelaga seperti tercatat dalam manuskrip tulisan tangan pengasasnya, Shaik Gulam Meah Shaik Ahmad Meah atau lebih dikenali Mamu Dada yang lahir pada 1905, terbentuk hasil kajian selama 15 tahun dan dianggap silat moden pada zamannya.
Katanya, Mamu Dada mempunyai lima murid generasi pertama paling terkenal dalam mengembangkan ilmu silat itu, iaitu Pak Mad Emden, Pak Hashim Kerbau, Pak Bidin yang kemudiannya berhijrah ke Thailand, Pak Ya atau Yahya Salleh dan Pak Sahak Kastam.
Kaitan dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee
Allahyarham Tan Sri P Ramlee turut pernah mempelajari Siku 12, malah babak filem Laksamana Do Re Mi memaparkan biji mata watak antagonis terkeluar selepas bahagian belakang kepalanya disiku watak Do dipercayai diilhamkan daripada teknik pukulan seni bela diri terbabit.
Damshir sendiri pada asalnya dipaksa belajar Siku 12 oleh datuk saudaranya, Pak Ya sekitar 1982, malah latihan dilalui ketika itu lebih keras apabila dia disuruh berenang mengambil bola yang ditendang ke tengah laut berulang kali hingga kehabisan tenaga.
"Ini kerana kekuatan tangan amat penting bagi pengamal Siku 12," kata bekas komando tentera itu yang menitikberatkan soal adab dan karakter individu sebelum membuat keputusan mengambil murid baharu.
"Ini kerana ilmu berkenaan cukup berbahaya jika disalah guna. Saya akan tapis dulu, soal selidik tanya anak siapa, rumah dekat mana. Paling penting niat, jika belajar untuk balas dendam atau jenis panas baran, saya tidak akan ajar.
"Secara peribadi saya juga tidak mengajar kanak-kanak kerana silat ini cukup bahaya jika disalah guna kerana saya bimbang jika mereka gunakan untuk bergaduh di sekolah," tambahnya.
Beliau yang pernah melatih kira-kira 1,000 murid berusia 20-an hingga 56 tahun dari Pulau Pinang dan Kedah sejak 1995, berkata mereka yang mahir silat itu masih boleh mencederakan orang lain walaupun dalam keadaan takut atau melarikan diri.
Damshir turut mengingatkan anak muridnya supaya tidak memperlekeh aliran persilatan lain supaya ilmu mereka tidak menjadi 'tawar', selain menegaskan Siku 12 bukan dipelajari untuk mempamer kekuatan, tetapi ikhtiar melindungi diri dan keluarga ketika diancam bahaya.
"Saya pernah jumpa orang kurang siuman mengamuk dan pukul beberapa orang di tepi jalan. Saya pergi dekat cakap elok-elok sampai dia peluk saya. Bila kita ada ilmu, kita jadi lebih berani dan berkeyakinan untuk tenangkan keadaan," kongsinya.
Warta Silat Siku 12 warisan negeri
Sementara itu, generasi keempat Mamu Dada, Shaik Amir Dadameah Shaik Haron, 37, berkata seni tempur jarak dekat yang dipelajari sejak berumur 16 tahun itu tidak sekadar bergantung pada siku, sebaliknya seluruh anggota badan, termasuk kepala dan kaki dalam teknik menyerang serta mempertahankan diri.
"Mamu Dada dalam manuskrip yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan tulisan jawi selain dilengkapi lukisan gambar rajah turut menerapkan konsep thistle attack atau serangan berduri yang menggambarkan corak serangan pantas, tajam dan hadir dari pelbagai sudut.
"Falsafah utama diterapkan ialah 'Sekilat Musuh Bergerak, Terlintas di Akal, Seluruh Anggota Bekerja', membawa maksud individu yang berlaga atau pelaga akan terus bertindak balas tanpa ragu-ragu ketika menyedari ancaman lawan.
"Dalam hal ini pelaga diibaratkan sebagai pohon berduri yang apabila disentuh dari mana-mana arah sekalipun tetap mampu mencederakan, sekali gus menyukarkan pihak lawan mengelak atau bertahan," katanya.
EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, berkata kerajaan negeri berhasrat mengangkat beberapa lagi kebudayaan tempatan, termasuk Silat Siku 12 untuk diwartakan sebagai warisan negeri.
Beliau melihat usaha itu menjadi langkah strategik ke arah pengiktirafan di peringkat kebangsaan, seterusnya peringkat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Saya bersama persatuan tempatan akan mencalonkan tiga lagi warisan Melayu di Pulau Pinang sebagai warisan negeri, antaranya Silat Siku 12, selain boria dan ghazal parti," katanya.














