BH Online
Ringkasan Berita

Anwar mohon rakyat Negeri Sembilan beri peluang PH terus terajui kerajaan negeri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan supaya memberikan mandat lebih kukuh kepada Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar mohon rakyat Negeri Sembilan beri peluang PH terus terajui kerajaan negeri

Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan supaya memberikan mandat lebih kukuh kepada Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi PH itu berkata, sejak gabungan itu mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan ikhtiar demi meningkatkan kesejahteraan rakyat,.

"Namun masih banyak agenda pembangunan serta kebajikan yang perlu diteruskan agar manfaatnya dapat dinikmati seluruh warga Negeri Sembilan.

"Saya memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat yang lebih kukuh kepada HARAPAN demi kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan saudara Aminuddin Harun.

"Sejak 2018, pelbagai ikhtiar telah digerakkan. Namun, masih banyak yang perlu diteruskan agar kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar turut mendoakan semua calon PH yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dikurniakan kekuatan, dipermudah segala urusan serta diberikan kejayaan.

Di samping itu, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya terus berpegang kepada nilai kebajikan dan ketakwaan, selain menggesa umat Islam agar saling membantu dalam melakukan kebajikan dan tidak bekerjasama dalam perkara yang membawa kepada dosa serta permusuhan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos dengan 103 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selepas proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, PH mempertaruhkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, BERSATU (24 calon), Perikatan Nasional (PN) 11 calon dan Bebas empat calon.

Selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon.

Video Terkini

Berita Berkaitan