BH Online
Ringkasan Berita

Lelaki Orang Asli cedera diserang gajah ceroboh kawasan kediaman

SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki cedera diserang gajah di Kampung Orang Asli Perjek, dekat Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap, di sini ketika cuba menghalang haiwan liar itu yang menceroboh kawasan kediaman penduduk.
Lelaki Orang Asli cedera diserang gajah ceroboh kawasan kediaman

Seorang lelaki cedera diserang gajah di Kampung Orang Asli Perjek di RPS Legap, di Sungai Siput. - Foto ihsan penduduk

SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki cedera diserang gajah di Kampung Orang Asli Perjek, dekat Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap, di sini ketika cuba menghalang haiwan liar itu yang menceroboh kawasan kediaman penduduk.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam semalam, sebelum kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang menerima maklumat digerakkan ke lokasi.

Hasil maklumat, PERHILITAN memaklumkan empat ekor gajah dikatakan memasuki kawasan belakang rumah penduduk dan memakan tanaman ubi kayu serta pisang.

Sehubungan itu, katanya beberapa penduduk kampung cuba menghalau kumpulan gajah terbabit, sebelum mangsa yang berada paling hampir tiba-tiba diserang.

"Mangsa yang cedera dan tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Sungai Siput kira-kira jam 10.30 malam menggunakan ambulans, sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

"Keadaan mangsa stabil dan kita membantu untuk mendapatkan bantuan melalui inisiatif Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)," katanya.

Menurut PERHILITAN, pemantauan menggunakan dron mendapati kumpulan gajah terbabit sudah beredar dari kawasan kampung, namun pihaknya akan terus memantau pergerakannya.

Video Terkini

Berita Berkaitan