BH Online
Ringkasan Berita

Isu Lynas-Pentagon: Kerajaan wajar perjelas destinasi sumber nadir bumi dieksport - PEMBELA

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan telus berkaitan pemprosesan dan eksport nadir bumi termasuk mekanisme bagi mengetahui destinasi akhir penggunaan bahan yang diproses di negara ini.
Isu Lynas-Pentagon: Kerajaan wajar perjelas destinasi sumber nadir bumi dieksport - PEMBELA

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. - NSTP/ Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan telus berkaitan pemprosesan dan eksport nadir bumi termasuk mekanisme bagi mengetahui destinasi akhir penggunaan bahan yang diproses di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata ketelusan dalam hal ini penting bagi mengelak kekeliruan serta memastikan kepentingan negara sentiasa dipelihara.

Ia susulan laporan syarikat pelombong nadir bumi Australia yang beroperasi di Pahang, Lynas, memeterai perjanjian dengan Pentagon pada Mac lalu bagi membekalkan nadir bumi bernilai AS$96 juta bagi tempoh empat tahun.

Zainul Rijal berkata, pendirian negara yang tegas dalam menyokong hak rakyat Palestin dan menggesa penyelesaian damai terhadap konflik antarabangsa tidak seharusnya dicemari persepsi negatif.

Ini termasuk mengaitkan sumber yang diproses di negara ini pada akhirnya menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri peperangan.

"Malaysia selama ini dikenali sebuah negara yang konsisten memperjuangkan keamanan, menolak penindasan serta mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat.

"Sumber strategik ini amanah negara yang perlu diurus dengan penuh kebijaksanaan agar manfaat ekonominya tidak mengatasi tanggungjawab moral dan kemanusiaan.

"Keuntungan diperoleh tidak seharusnya mengorbankan prinsip keamanan yang menjadi asas pendirian negara di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal, berkata PEMBELA menggesa kerajaan mengambil langkah segera susulan ada pihak mengaitkan nadir bumi yang diproses di Malaysia dengan rantaian bekalan industri pertahanan kuasa besar dunia.

"Saya menggesa kerajaan mengambil langkah segera memperjelas pendirian rasmi negara, mengkaji semula kerangka dasar berkaitan mineral strategik, memperkukuhkan mekanisme kawal selia dan memastikan segala aktiviti berkaitan nadir bumi sentiasa selaras dengan kepentingan negara, prinsip keamanan, keadilan sejagat serta komitmen Malaysia terhadap keamanan dunia.

"Malaysia hendaklah terus dikenali sebagai sebuah negara yang bukan sahaja maju dari sudut ekonomi, tetapiteguh mempertahankan nilai kemanusiaan dan keamanan sejagat," katanya.

PEMBELA turut mengesyorkan supaya kerajaan membangunkan dasar nasional yang komprehensif berkaitan mineral kritikal.

Dasar terbabit, katanya hendaklah mengimbangi keperluan menarik pelaburan asing dengan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara, kepentingan strategik nasional serta reputasi Malaysia sebagai negara yang sentiasa mengangkat nilai keamanan dan keadilan.

"Pihak berkepentingan iaitu Parlimen, pakar industri, badan bukan kerajaan, akademia dan masyarakat sivil wajar dilibatkan dalam proses merangka dasar mengenai nadir bumi.

"Pendekatan yang inklusif akan menghasilkan dasar yang lebih menyeluruh, telus dan mampu menangani cabaran ekonomi, keselamatan serta geopolitik yang semakin kompleks," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan