JITRA: Meskipun lebih 24 jam berlalu, memori menyaksikan detik cemas seorang wanita dihanyutkan kepala air sambil memeluk kanak-kanak lelaki di Sungai Sedim, dekat Kulim semalam sukar luput dari ingatan Muhammad Azmi Basri, 30.
Meskipun tidak mengenali kedua-dua mangsa, Azmi terpanggil untuk menghadiri pengebumian dua mangsa itu iaitu Nur Atikah Abdullah, 28, dan sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md Radzi yang berusia tiga tahun di Jitra hari ini.
Sebelum kejadian, katanya dia naik ke tebing untuk mengambil pelampung, namun tidak lama kemudian kawasan rekreasi itu dilanda kepala air.
"Saya turun semula ke sungai untuk memaklumkan kepada mereka yang masih berada dalam air.
"Ketika itulah mereka (Atikah dan Daniel) dihanyutkan arus, betul-betul di depan mata saya.
"Saya nampak Nur Atikah masih bernafas dan memeluk kanak-kanak. Ada seorang lelaki cuba menariknya, namun tidak sempat mencapai tangannya sebelum kedua-dua mangsa terus hanyut," katanya.
Dalam kejadian semalam, tiga pengunjung dilapor maut dengan seorang lagi mangsa adalah Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.
Uzair ditemui pada jarak kira-kira satu kilometer daripada lokasi dia dilapor hilang, sementara Atikah dan Daniel pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa pertama ditemukan.
Terdahulu, jenazah Atikah dan Daniel disolatkan sebelum dikebumikan bersama dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Palas di Jitra atas permintaan keluarga kerana hubungan mereka amat rapat.
























