KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengingatkan pemain industri terus mematuhi Protokol Keperluan Fitosanitari bagi tujuan eksport durian segar ke China.
Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin turut mengingatkan pemain industri terbabit tidak menggunakan sebarang kaedah di luar skop kebenaran yang belum mendapat kelulusan rasmi pihak berkuasa.
Tegas beliau, pematuhan terhadap protokol dipersetujui antara kerajaan Malaysia dan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) penting bagi memastikan akses pasaran China yang diperoleh hasil rundingan bertahun-tahun terus dikekalkan.
"Kita tidak boleh mengambil risiko yang boleh menjejaskan keyakinan pihak berkuasa China terhadap sistem kawal selia Malaysia.
"Apa-apa kaedah baharu yang belum dipersetujui atau tidak selaras dengan protokol sedia ada tidak seharusnya dilaksanakan secara unilateral kerana implikasinya bukan sahaja kepada syarikat terbabit, malah boleh menjejaskan keseluruhan industri durian negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Industri Durian Mengenai Cadangan Pre-Cut Durian Eksport ke China di Wisma Tani di Putrajaya, semalam.
Foong Hin berkata, industri durian kekal antara subsektor agromakanan bernilai tinggi negara dengan nilai eksport mencecah RM1.10 bilion membabitkan 45,266 tan metrik ke pasaran global pada tahun lalu.
"Industri durian menjadi antara subsektor agromakanan bernilai tinggi negara yang terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan.
"Tahun lalu, Malaysia merekodkan eksport durian bernilai RM1.10 bilion dengan membabitkan 45,266 tan metrik ke pasaran global.
"China kekal destinasi eksport terbesar dengan nilai RM868.09 juta, hampir 79 peratus daripada keseluruhan nilai eksport durian negara," katanya.
Beliau berkata, pembukaan akses pasaran durian segar ke China pada 2024 adalah hasil rundingan panjang antara kedua-dua negara dan tertakluk sepenuhnya kepada Protokol Keperluan Fitosanitari yang dipersetujui bersama.
"Hasil rundingan itu satu pencapaian penting dan mengambil tempoh panjang dan tertakluk sepenuhnya kepada Protokol Keperluan Fitosanitari yang sudah dipersetujui bersama," katanya.
Mengulas cadangan menggunakan kaedah pre-cut, Foong Hin berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil maklum pandangan sebahagian pemain industri yang melihat pendekatan itu berpotensi memanjangkan jangka hayat produk, mengurangkan kos logistik serta memperluaskan pilihan penghantaran ke pasaran China.
"Bagaimanapun, KPKM turut mengambil kira kebimbangan berkaitan pematuhan protokol, kawalan kualiti, keselamatan makanan dan kebolehkesanan produk selain menjaga reputasi durian Malaysia sebagai durian gugur matang yang menjadi identiti premium negara.
"Pada masa sama, kita juga perlu mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berkaitan pematuhan protokol, kawalan kualiti, keselamatan makanan dan kebolehkesanan produk.
"Perkara ini juga berkait rapat dengan reputasi durian Malaysia sebagai durian gugur matang (tree-ripened) yang selama ini menjadi identiti premium negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa Jabatan Pertanian melalui kenyataan media pada 2 Julai lalu sudah menjelaskan pengeksportan durian segar melalui laluan darat yang membabitkan transit ke negara lain adalah di luar skop Protokol Keperluan Fitosanitari yang sedang berkuat kuasa dan tidak dibenarkan sehingga sebarang pindaan atau protokol baharu dimuktamadkan serta dipersetujui oleh Malaysia dan GACC.
"Selain itu, Pejabat Perwakilan Pertanian (ACO) Beijing baru-baru ini telah mengadakan perbincangan dengan pihak GACC yang mana menegaskan protokol sedia ada masih terpakai sepenuhnya dan tiada laluan darat dibenarkan bagi pengeksportan durian segar ke China.
"Semua pemain industri dinasihatkan supaya terus mematuhi syarat dan protokol yang sedang berkuat kuasa," katanya.
























