SEREMBAN: Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menegaskan tindakan menggadaikan kepercayaan demi kemenangan dalam pilihan raya tidak ada dalam kamus strategi politik parti itu serta Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, beliau berkata agenda pembangunan negara serta kebajikan rakyat yang dipastikan dapat terus dilaksana dengan berkesan akan menjadi paksi serta tunjang utama yang mendasari setiap langkah politik PKR dan PH.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, katanya perbezaan strategi politik dalam pilihan raya negeri merupakan perkara biasa di dalam seni kepada segala kemungkinan.
"Seluruh jentera PKR dan PH diseru supaya kekal fokus, berdisiplin dan bekerja dengan penuh iltizam untuk meraih keyakinan rakyat serta mempertahankan mandat di Negeri Sembilan," katanya melalui kenyataan, hari ini.
PRN Negeri Sembilan yang membuka tirai kempen hari ini menyaksikan gerakan unik apabila Barisan Nasional (BN) yang menjadis ebahagain Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat secara terang-terangan mewujudkan persefahaman politik bersama Perikatan Nasional (PN) ditunjangi PAS.
BN bertanding di 25 daripada 36 keseluruhan kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) sementara baki 11 lagi kerusi ditandingi wakil PN.
Menurut Fuziah, PKR mengambil maklum perkembangan semasa berkaitan persefahaman dan kerjasama politik menjelang PRN Negeri Sembilan dan pihaknya bersama PH menghormati hak setiap parti untuk menentukan pendekatan dan strategi masing-masing dalam menghadapi pilihan raya.
"PKR kekal dengan pendirian sebarang keputusan politik di peringkat negeri sentiasa dinilai berdasarkan kepentingan serta aspirasi rakyat Negeri Sembilan.
"PRN Negeri Sembilan merupakan pentas demokrasi untuk parti-parti menawarkan dasar, rekod perkhidmatan dan kepimpinan terbaik kepada rakyat.
"Justeru, PKR kekal fokus memperjuangkan isu-isu kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi, kos sara hidup, pembangunan seimbang serta tadbir urus yang telus dan berintegriti," katanya.
























