KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program e-Perkasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Melalui inisiatif itu, 664 pelajar anak warga ATM menerima peranti pembelajaran digital bagi membolehkan mereka mengikuti kelas tuisyen e-Perkasa secara dalam talian selain persediaan menghadapi SPM.
Menurut Unit Komunikasi Korporat Yayasan LTAT dalam satu kenyataan hari ini, penyerahan peranti itu dilaksanakan secara berfasa kepada semua pelajar terpilih di bawah inisiatif pendidikan Yayasan LTAT 2026.
Program e-Perkasa SPM adalah satu daripada inisiatif Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Yayasan LTAT bagi menyediakan kelas tuisyen dalam talian secara percuma kepada anak-anak anggota ATM yang bersekolah di luar kem.
Program dilaksanakan bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar melalui sokongan pembelajaran yang lebih fleksibel.
Beberapa siri penyerahan peranti yang dihadiri Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin diadakan di beberapa lokasi terpilih, antaranya Kem Batu 10 di Kuantan, Pahang.
Lokasi lain termasuk Dewan Sri Pahlawan, Kem Desa Pahlawan, Kelantan; Dewan Seri Terengganu, Kem Sri Pantai, Kuala Nerus, Terengganu; Dewan Seri Angkasa, Pangkalan Udara Kuantan, Pahang; Dewan Setia, Pangkalan Udara Kuching, Sarawak.
Selain itu, Auditorium Panglima Angkatan Tentera, Kem Kementah, Kuala Lumpur dan diteruskan hari ini di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak.
Secara keseluruhan, seramai 80 anak warga ATM di Sarawak menyertai Program e-Perkasa SPM 2026.
Menurut kenyataan sama, kejayaan program itu turut dibantu kerjasama strategik rakan korporat termasuk PERNAMA, Boustead Plantations Berhad, TM Technology Services Sdn Bhd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd.
"Sokongan rakan strategik ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa akses pendidikan digital kepada anak-anak warga ATM, sekali gus memastikan lebih ramai pelajar mendapat peluang mengikuti pembelajaran dalam talian dengan kemudahan yang lebih kondusif serta berkualiti.
"Yayasan LTAT berharap bantuan yang disalurkan ini dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik, sekali gus membuka lebih banyak peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Menurut kenyataan itu, program terbabit diharap mampu merapatkan jurang akses pendidikan digital dalam kalangan anak-anak ATM serta memastikan mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembelajaran berasaskan teknologi.

















