BH Online
Ringkasan Berita

Pelajar retak buku lali kaki dakwa dibuli, diperas ugut rakan sekelas

KANGAR: Tiga pelajar lelaki Tingkatan Satu ditahan selepas disyaki membuli dan memeras ugut rakan sekelas sehingga mangsa retak buku lali kaki kiri dalam kejadian di sekolah menengah, di sini, pada Khamis lalu.
Pelajar retak buku lali kaki dakwa dibuli, diperas ugut rakan sekelas

Gambar hiasan

KANGAR: Tiga pelajar lelaki Tingkatan Satu ditahan selepas disyaki membuli dan memeras ugut rakan sekelas sehingga mangsa retak buku lali kaki kiri dalam kejadian di sekolah menengah, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa yang berusia 39 tahun tampil membuat laporan polis berhubung insiden menimpa anaknya pada jam 11.27 malam hari sama.

Katanya, wanita yang bekerja sebagai pembantu kafe itu pada mulanya dihubungi guru kelas pada jam 12.28 tengah hari yang memaklumkan anak lelakinya berusia 13 tahun cedera dan tidak boleh berjalan akibat tergelincir ketika mahu masuk ke dalam kelas.

"Wanita itu kemudian pergi mengambil anaknya pada jam 1 tengah hari untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan doktor mengesahkan mangsa mengalami keretakan di bahagian buku lali kaki kiri akibat terjatuh.

"Bagaimanapun, ketika berada di hospital pada sebelah malamnya, remaja itu mendedahkan perkara sebenar bahawa dia menjadi mangsa buli sejak beberapa bulan lalu.

"Kemuncaknya adalah pada hari kejadian apabila mangsa mendakwa ditendang, dipukul dan dibaling dengan dua tong sampah besar pada bahagian badan serta kepala, malah turut diludah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Yusharifuddin berkata, ketiga-tiga suspek yang juga rakan sekelas mangsa turut didakwa bertindak memeras ugut dengan meminta wang belanja hariannya.

Beliau berkata, akibat insiden yang berlanjutan sejak sekian lama itu, mangsa trauma dan tidak pernah menceritakan kejadian berkenaan kepada pihak sekolah mahupun ibunya sebelum ini kerana terlalu takut serta bimbang keselamatannya.

"Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang masing-masing berusia 13 tahun bagi membantu siasatan.

"Semua suspek kini direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (kerana sengaja mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan