JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor baharu berikrar terus melaksanakan agenda pembangunan negeri dan memenuhi aspirasi rakyat selepas mengangkat sumpah jawatan masing-masing di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, menyifatkan pelantikannya sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata, meskipun portfolio pendidikan dan penerangan adalah bidang baharu buatnya, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
"Insya-Allah, saya akan melaksanakan tugas ini sebaiknya. Kita akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk media dalam menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan negeri," katanya pada sidang media pengumuman EXCO Johor, di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Hasrunizah Hassan, berkata tumpuan awal beliau adalah meneliti portfolio dan agensi di bawah seliaannya sebelum merangka pelan tindakan yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata, usaha memperkukuh pembangunan wanita akan terus diperkasakan, khususnya membabitkan golongan ibu tunggal dan suri rumah yang sebelum ini menerima pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan negeri.
"Kita mempunyai data berkaitan suri rumah dan ibu tunggal. Data itu akan dikemas kini dan kita akan melihat sama ada terdapat bantuan tambahan yang bersesuaian untuk kedua-dua golongan ini," katanya.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md Israk Abdullah, beliau mengakui tidak menyangka akan diberi tanggungjawab sebagai EXCO, namun bertekad untuk memberikan khidmat terbaiknya untuk penduduk negeri ini.
"Ini adalah kali pertama saya bertanding (dalam PRN) dan alhamdulillah menang dan diberi amanah untuk menjadi EXCO. Jadi saya kena kaji sedikitlah portfolio saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor kerana ini adalah pengalaman saya yang pertama," katanya.
Komitmen sama disuarakan ADUN Perling, P Pannir Selvam, yang mahu memastikan portfolionya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di Johor.
Beliau berkata, usaha memelihara warisan dan kebudayaan negeri akan terus diperkasakan selaras dengan agenda Bangsa Johor yang menjadi tunjang keharmonian dan kemajuan negeri.
"Saya akan meneliti perkara-perkara yang boleh diperkasakan dalam portfolio ini dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai seluruh rakyat Johor," katanya.
Terdahulu, kesemua 10 EXCO Johor mengangkat sumpah pada Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah di hadapan Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.
























