JOHOR BAHRU: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin menerima dengan hati terbuka apabila tidak tersenarai dalam barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCP) Johor bagi penggal baharu.
Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, beliau akur dengan keputusan itu kerana percaya setiap amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan mempunyai tempohnya yang tersendiri.
"Setiap amanah ada tempohnya, dan setiap perjuangan tidak pernah bergantung kepada jawatan. Perjuangan untuk rakyat tidak pernah berakhir hanya kerana perubahan jawatan.
"Selagi diberi kepercayaan sebagai ADUN Tanjung Surat, saya akan terus turun padang, mendengar denyut nadi rakyat dan berkhidmat tanpa mengira kedudukan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Dalam rombakan portfolio itu, jawatan yang disandang Aznan kini digalas Dr Muhammad Naqib Md Ghazali yang juga ADUN Panti.
Mengulas mengenai pelantikan penggantinya, Aznan menzahirkan ucapan tahniah dan menyatakan keyakinan penuh terhadap keupayaan Dr Muhammad Naqib untuk meneruskan kecemerlangan portfolio berkenaan.
"Saya yakin beliau mampu meneruskan kecemerlangan portfolio ini dan membawa pembaharuan yang lebih besar demi kemajuan pendidikan serta penyampaian maklumat di negeri Johor," katanya.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada barisan EXCO Johor bagi penggal 2026 hingga 2031 yang mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Katanya, amanah yang dipikul bukan sekadar satu kemuliaan, sebaliknya tanggungjawab besar untuk memastikan Johor terus melangkah maju, membawa kesejahteraan kepada rakyat serta merealisasikan aspirasi Maju Johor 2030 di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
"Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan mengurniakan kekuatan buat mereka dalam berkhidmat kepada negeri dan rakyat," katanya.
Terdahulu, kesemua 10 EXCO Kerajaan Negeri Johor termasuk empat daripadanya muka baharu mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, di sini pagi ini.
























