KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan sebuah pasukan siasatan bagi meneliti isu kerugian RM200 juta membabitkan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam syarikat eFishery, Indonesia.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata pihaknya sudah memulakan siasatan kes itu secara menyeluruh bermula semalam.
Beliau berkata, siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
"Susulan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini bagi mengelak kekeliruan serta menjaga integriti proses siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan pelaburan KWAP dalam eFishery adalah mangsa penipuan terancang susulan terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat dari Indonesia itu.
MOF berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP sudah mengambil langkah tegas termasuk tindakan undang-undang, meneruskan usaha pemulihan dana, melaksanakan semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.
Media sebelum ini melaporkan eFishery sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan kewangan, termasuk manipulasi penyata kewangan yang menyebabkan hasil syarikat dilaporkan lebih tinggi daripada angka sebenar.
Menurut DealStreetAsia, KWAP melabur kira-kira US$47.7 juta (RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery pada 2023.
























