BH Online
Ringkasan Berita

Wanita 30 hingga 65 tahun digesa jalani saringan HPV DNA, cegah kanser serviks

KUALA LUMPUR: Wanita berusia antara 30 hingga 65 tahun digesa menjalani saringan kanser serviks menerusi ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) DNA bagi mengesan penyakit itu pada peringkat awal.
Wanita 30 hingga 65 tahun digesa jalani saringan HPV DNA, cegah kanser serviks

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib melawat pameran selepas merasmikan Pelancaran Fasa 6 Program Saringan Serviks Percuma Etiqa dengan kerjasama Yayasan ROSE, di Bilik Seminar, PAUM Clubhouse. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Wanita berusia antara 30 hingga 65 tahun digesa menjalani saringan kanser serviks menerusi ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) DNA bagi mengesan penyakit itu pada peringkat awal.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata kanser serviks ialah antara jenis kanser yang boleh dicegah dan dirawat sekiranya dikesan lebih awal.

"Proses saringan sangat mudah. Sekiranya terdapat petunjuk awal, pesakit akan dibimbing untuk mendapatkan rawatan dan akses kepada doktor sehingga mereka disahkan bebas daripada penyakit.

"Ini menunjukkan kanser serviks adalah penyakit yang boleh diuruskan jika dikesan pada peringkat awal," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Saringan Kanser Serviks Percuma Etiqa Fasa 6 bersama ROSE Foundation di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Life Insurance Berhad, Leong Su Yern; Pengerusi Yayasan ROSE, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Ketua Pejabat WHO Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Rabindra Abeyasinghe.

Hanifah Hajar berkata, masih ramai wanita beranggapan mereka bebas daripada risiko kanser serviks kerana tidak mengalami sebarang gejala, sedangkan penyakit itu boleh berkembang secara senyap tanpa menunjukkan tanda pada peringkat awal.

Beliau berkata, wanita di kawasan pedalaman pula masih berdepan pelbagai kekangan untuk menjalani saringan, termasuk faktor jarak, kos perjalanan dan akses terhad kepada kemudahan kesihatan.

"Seperti wanita di Sarawak, yang perlu menaiki bot sebelum meneruskan perjalanan darat selama beberapa jam semata-mata untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital.

"Justeru, usaha meningkatkan kesedaran serta memperluaskan akses kepada saringan perlu terus diperkasa supaya lebih ramai wanita menjalani pemeriksaan awal sebelum penyakit menjadi lebih serius," katanya.

Dalam pada itu, Hanifah Hajar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kekal komited merealisasikan sasaran yang digariskan dalam Pelan Tindakan Ke Arah Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia 2021-2030 melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi pencegahan, saringan, diagnosis dan rawatan susulan.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara KKM dan Yayasan ROSE yang diperkukuh menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai tahun lalu, selain pelaksanaan Program Saringan Serviks Percuma Etiqa, membuktikan kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan komuniti mampu berganding bahu memperluaskan akses kepada saringan, khususnya bagi wanita yang berdepan kekangan mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

"Usaha bersama ini penting bagi memastikan lebih ramai wanita menjalani saringan awal, sekali gus meningkatkan peluang mengesan dan merawat penyakit pada peringkat awal," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan ROSE, Prof Dr Woo Yin Ling, berkata ujian HPV DNA kini diiktiraf sebagai standard emas dalam saringan kanser serviks, selaras dengan sasaran WHO untuk menghapuskan penyakit itu sebagai masalah kesihatan awam.

Beliau berkata, berdasarkan bukti saintifik, wanita hanya perlu menjalani ujian HPV DNA sebanyak dua kali sepanjang hayat bagi mengurangkan risiko kanser serviks secara signifikan.

Katanya, wanita kini boleh menjalani saringan menggunakan kit swab pensampelan kendiri yang disediakan di lebih 60 klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan saringan tanpa perlu menjalani prosedur yang lebih rumit.

"Ini bukan lagi mengenai melakukan 15 kali pap smear. Apa yang diperlukan ialah dua kali saringan HPV DNA sepanjang hayat.

"Penyelidikan sudah membuktikan keberkesanannya. Kini tanggungjawab kita sebagai masyarakat adalah memastikan semua wanita mempunyai akses kepada ujian ini tanpa mengira lokasi atau kemampuan kewangan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan