SEREMBAN: Isu perbandaran lama antara perkara yang menjadi tumpuan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.
Tun Faisal berkata, beliau dipilih kepimpinan BERSATU untuk menawarkan pembelaan dan pembaharuan kepada rakyat di Sikamat.
"Kebetulan saya adalah pimpinan nasional (BERSATU) di Negeri Sembilan, jadi kepercayaan diberikan kepada saya di DUN Sikamat.
"Isu di Sikamat berkaitan pembandaran lama dan penyelenggaraan. Perbandaran lama ini menjadi tidak berkembang dan memerlukan idea baharu bersama kegiatan ekonomi mantap.
"Sekiranya ia tidak diatasi, yang menjadi mangsa adalah golongan muda yang terpaksa keluar dari kawasan ini bagi mencari pekerjaan," katanya di Pusat Penamaan Calon, Majlis Bandaraya Seremban Forest Heights, di sini, hari ini.
Beliau berkata, wujud isu keselamatan di sebalik masalah perbandaran lama jika tidak diselesaikan.
"Saya lihat juga dalam masalah perbandaran lama ada isu keselamatan termasuk isu pendatang asing kerana di Sikamat ada kawasan komuniti Rohingya yang turut berkait dengan aspek kebersihan.
"Selama ini, tidak nampak satu pendekatan tuntas untuk menguruskan isu berkenaan termasuk soal keselamatan dan lain-lain," katanya.
Mengulas percaturan BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, beliau berkata, jumlah kerusi dipertandingkan parti itu adalah 'besar' iaitu 24 kerusi.
"Kita masuk (bertanding) bukan dalam jumlah kecil iaitu 24 kerusi kerana kita percaya BERSATU boleh menjadi alternatif lebih baik daripada Pakatan Harapan (PH) dan gabungan Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN).
"Sebelum ini, kerajaan negeri pernah ditadbir BN dan selepas itu PH. Yang belum pernah mentadbir adalah BERSATU dan PN. Jadi kita percaya, pemimpin kita boleh membawa cadangan dan tawaran baharu kepada rakyat Negeri Sembilan.
"Kita juga boleh bawa idea pembaharuan dan pentadbiran lebih baik serta tersusun berbanding PH," katanya.
Berhubung kemelut antara PN dengan BERSATU, beliau berkata, parti itu tidak diberi pilihan selain bergerak solo pada pilihan raya kali ini.
"Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini ada memaklumkan, BERSATU tidak dipanggil pada mesyuarat rundingan dan kami tidak pasti mengenai kedudukan kerusi dan lain-lain.
"Bila kita dihimpit ke saat akhir, jadi tiada pilihan dan kita mahu menyertai pilihan raya ini. Apabila kita umum guna logo sendiri, baru (PN) beritahu ada mesyuarat, tetapi ia sudah terlewat," katanya.
Beliau mengakui ada pertindihan kerusi antara BERSATU dan PAS di beberapa DUN pada pilihan raya ini yang disifatkan tidak dapat dielakkan.
"Alangkah baiknya, PN menawarkan untuk membuat mesyuarat rundingan awal dan selesaikan pembahagian kerusi dengan lebih baik tanpa timbul isu seolah-olah kita menolak agenda penyatuan ummah.
"Pada saya, itu satu pandangan yang salah," katanya.
DUN Sikamat menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRN Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos nanti.
Tun Faisal ditentang calon PH (PH-PKR) Nor Azman Mohamad dan calon PN (PN-WAWASAN) iaitu bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah.
























