BH Online
Ringkasan Berita

SPRM mulakan siasatan terhadap KWAP dalam isu pelaburan E-Fishery

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan berhubung isu kerugian pelaburan berjumlah RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
SPRM mulakan siasatan terhadap  KWAP dalam isu pelaburan E-Fishery

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan berhubung isu kerugian pelaburan berjumlah RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata satu pasukan siasatan dari Ibu Pejabat SPRM dibentuk sejak semalam bagi mengkaji dan meneliti isu berkenaan secara menyeluruh.

"Siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan itu, Abd Halim turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sepanjang proses siasatan berlangsung.

"Ia juga sebagai usaha menjaga integriti proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pasukan penyiasat," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata keputusan pelaburan eFishery dibuat melalui proses penilaian dan tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, pada masa sama, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar bebas bagi memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.

KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam syarikat eFishery pada Julai 2023.

Syarikat pemula niaga itu dipersembahkan sebagai firma akuakultur berasaskan teknologi yang kononnya mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang.

Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Video Terkini

Berita Berkaitan