KUALA LUMPUR: Trend penggunaan ubat diabetes sebagai 'suntikan kurus' bagi menurunkan berat badan tanpa pemantauan perubatan dibimbangi menjejaskan kesihatan awam dan bekalan ubat itu kepada pesakit diabetik yang memerlukan.
Ini kerana ubat berkenaan yang digunakan untuk merawat penyakit diabetes jenis 2 iaitu bagi mengawal paras gula dalam darah, kini semakin popular dalam kalangan masyarakat yang mahu melangsingkan badan dengan cepat.
Pensyarah Perubatan Klinikal dan Pakar Perubatan Dalaman di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Firdaus A Bakar, berkata tidak dinafikan penggunaan ubat itu memberi manfaat klinikal kepada masalah obesiti dan diabetes iaitu penyakit kronik yang meningkatkan risiko serangan jantung, strok serta kegagalan buah pinggang.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika ia digunakan untuk menurunkan berat badan tanpa penilaian dan pemantauan doktor, individu terbabit berdepan risiko kesihatan kerana ubat itu sebenarnya mempengaruhi hormon dan metabolisme tubuh mereka.
"Ia bukan suplemen atau ubat tambahan biasa kerana kesan sampingannya sangat nyata dan berbeza antara individu termasuk loya, muntah, mengantuk dan gangguan usus, manakala dalam kes tertentu boleh berlaku pankreatitis, batu hempedu serta dehidrasi.
"Risiko menjadi lebih tinggi terutama jika individu mempunyai faktor kesihatan tersembunyi yang menyebabkan mereka tidak sesuai mengambil suntikan berkenaan.
"Selain itu, penurunan berat badan secara mendadak melalui penggunaan suntikan ubat diabetes berpotensi menjejaskan jisim otot dan status pemakanan seseorang, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan nutrien tertentu.
"Sebab itu, jika diambil tanpa pemantauan perubatan daripada doktor bertauliah, individu itu mendedahkan dirinya kepada risiko kesihatan yang lebih berbahaya," katanya.
Alami komplikasi serius
Sebelum ini, media melaporkan, seorang doktor berkongsi pengalamannya merawat wanita muda yang bakal berkahwin didakwa mengambil suntikan kurus dibelinya secara dalam talian sehingga terpaksa dirujuk ke hospital kerana mengalami komplikasi serius.
Menceritakan detik cemas itu, Dr Hannani Murni Indah Kamarudin berkata, gadis berusia 24 tahun itu datang ke kliniknya di Batu Pahat, Johor, dalam keadaan meraung kesakitan akibat sakit perut dengan mata dan wajahnya kekuningan serta degupan jantung mencecah antara 132 hingga 140 denyutan seminit.
Mangsa yang berjaya menurunkan berat badan daripada 80 kilogram kepada 54 kilogram kemudian dirujuk ke hospital di Johor Bahru selepas mengalami komplikasi termasuk hati dan jantung membengkak serta usus bocor.
Mengulas promosi ubat itu yang dilakukan secara meluas dan popular di media sosial, Dr Mohd Firdaus berkata, isu penggunaan ubat diabetes ini bukan saja disebut di klinik tetapi juga di meja makan.
Beliau berkata, persepsi ditonjolkan hasil penggunaan ubat itu sangat membimbangkan kerana ia memaparkan perubahan gaya hidup sihat boleh digantikan dengan suntikan mingguan jika mahu menurunkan berat badan.
Katanya, ia bertentangan dengan amalan sepatutnya dilakukan iaitu mengubah tabiat pemakanan dan aktiviti harian kepada yang lebih sihat.
"Ini kerana jika mereka berhenti mengambil suntikan itu, berat badan lazimnya akan kembali meningkat selepas sebelumnya.
"Obesiti bukan sekadar isu kalori, sebaliknya berkait dengan faktor psikologi, sosioekonomi, persekitaran makanan dan budaya yang memerlukan pendekatan rawatan menyeluruh serta berterusan.
"Jika kita membina generasi yang percaya setiap masalah metabolik ada 'jarum' penyelesaiannya, kita sedang mencipta kebergantungan jangka panjang," katanya.
Sementara itu, Dr Mohd Firdaus berkata, bagi pesakit diabetes, kestabilan rawatan amat penting untuk mencegah komplikasi serius seperti strok dan kegagalan buah pinggang.
Susulan itu, beliau berkata, ubat preskripsi itu harus diberikan kepada pesakit yang tepat dengan pemantauan rapi.
"Kesihatan bukan hanya mahu badan menjadi kurus, tetapi sihat secara menyeluruh dan berkekalan," katanya.
























