BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Kejayaan pentadbiran PH, keupayaan Aminuddin fokus kempen - Fahmi

JEMPOL: Kesinambungan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan serta prestasi cemerlang Menteri Besar, Datuk Seri Aminudin Harun antara fokus kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
PRN NS: Kejayaan pentadbiran PH, keupayaan Aminuddin fokus kempen - Fahmi

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, bergambar bersama calon bagi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Serting, Jeram Padang, Palong dan Bahau di Dewan Besar Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jempol hari ini. - Foto BERNAMA

JEMPOL: Kesinambungan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan serta prestasi cemerlang Menteri Besar, Datuk Seri Aminudin Harun antara fokus kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata pelbagai perubahan yang dibawa Aminudin kepada rakyat di negeri itu menjadi kekuatan PH untuk memenangi mandat rakyat.

"Bagi PH fokus kita pada kejayaan dan keupayaan Menteri Besar (Aminuddin) yang telah melaksanakan banyak perubahan dan peningkatan dari segi ekonomi, kutipan zakat, pembangunan.

"Saya percaya dengan kestabilan beliau bawa, tiada skandal, tiada isu, tiada masalah sepanjang lapan tahun beliau mentadbir.

"Saya lihat ini kita perlu teruskan supaya ada kesinambungan dan hubungan yang erat antara negeri dan persekutuan. Ini akan menjadi antara kita akan kempen sepanjang PRN," katanya.

Ditanya kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), Fahmi berkata, ia tidak menjadi penghalang untuk mempertahankan negeri itu di bawah pentadbiran PH.

"Jentera pilihan raya hadir sedia mempertahan kerajaan PH di Negeri Sembilan, saya lihat keadaan terkawal dan saya harap ia kekal untuk tempoh dua minggu akan datang.

"Semua kempen sama ada fizikal atau dalam talian, elakkan fitnah dan isu 3R... kita harap semua berjalan dengan baik," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol bagi proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N05 Serting, N06 Palong, N07 Jeram Padang dan N08 Bahau, hari ini.

PH mempertaruhkan empat calon di empat DUN berkenaan, bagi N05 DUN Serting, Yaacob Mahmood (PH) berdepan calon Fairuz Isa (PN) dan Muhammad Noraffendy Mohd Salleh (Bersatu).

Di N06 DUN Palong, calon Zahin Zinal Abidin (PH) bakal berdepan calon penyandang kerusi itu Datuk Mustapha Nagoor (BN) dan Rebin Birham (Bersatu).

Sementara itu, di N07 DUN Jeram Padang menyaksikan G Manivannan (PH) berdepan penyandang kerusi itu Datuk Zaidy Abdul Kadir (BN), R Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal (Parti Asli).

Di N08 DUN Bahau, pertandingan satu lawan satu dijangka antara penyandangnya, Teo Kok Seong (PH), dan Chong Fui Ming (BN).

Video Terkini

Berita Berkaitan