BH Online
Ringkasan Berita

'Baba sempat capai tangan anak tapi terlepas sebelum dibawa arus kepala air'

ALOR SETAR: “Air sangat deras... baba dia sempat capai tangan arwah tetapi terlepas sebelum dihanyutkan air, ” kata Nur Shyuhada Abdul Rahim, 39.
'Baba sempat capai tangan anak tapi terlepas sebelum dibawa arus kepala air'

Nur Shyuhada Abdul Rahim, ibu kepada Muhammad Uzair Ahmadi Hussain (gambar), 12, yang meninggal dunia akibat lemas di pusat peranginan Sungai Sedim. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: "Air sangat deras... baba dia sempat capai tangan arwah tetapi terlepas sebelum dihanyutkan air, " kata Nur Shyuhada Abdul Rahim, 39.

Nur Shyuhada adalah ibu kepada Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, yang meninggal dunia akibat lemas ketika berkelah dan mandi di pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim.

Selain Muhammad Uzair, dua lagi mangsa iaitu Nur Atikah Abdullah, 28, serta sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md Radzi, 3, turut lemas dalam kejadian jam 2 petang itu.

Nur Shyuhada berkata, apabila mengenangkan usaha suaminya menyelamatkan anak kedua mereka itu, perasaan jadi sedih dan sayu.

Katanya, mereka sekeluarga pada asalnya merancang mengunjungi dusun keluarganya sebelum mengambil keputusan singgah mandi di Sungai Sedim.

"Suasana bertukar cemas sebaik terdengar jeritan orang ramai apabila berlaku kepala air, menyebabkan suami (Ahmadi Hussain Baharudin, 38,) bersama adik ipar terjun ke sungai untuk menyelamatkan anak-anak.

"Mereka berjaya membawa keluar anak sulung, Muhammad Uwais (berusia 14 tahun) tetapi gagal menyelamatkan Muhammad Uzair yang dihanyutkan arus deras.

"Baba dia kata masih ada nadi ketika dibawa naik, tetapi sudah lemah tapi baba dan abi (bapa saudara) buat CPR dua kali, namun air terlalu banyak masuk ke dalam badannya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Nur Shyuhada berkata, Muhammad Uzair adalah anak kedua daripada tiga beradik dan mesra dipanggil 'Baby' oleh ahli keluarga kerana sifatnya yang manja.

Lebih menyentuh hati, Nur Shyuhada kini berkerusi roda selepas kaki kanannya dipotong akibat komplikasi diabetes kira-kira dua bulan lalu.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik HSB apabila ahli keluarga dan kenalan menunggu proses bedah siasat selesai sebelum menuntut ketiga-tiga jenazah.

Jenazah Muhammad Uzair dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah, Kampung Hujung, Teluk Bagan, dekat sini.

Manakala jenazah Nur Atikah dan Muhammad Aariz Danial pula akan dikebumikan bersama dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Palas, Jitra.

Media sebelum ini melaporkan, tiga maut selepas dihanyutkan arus deras ketika kepala air melanda Sungai Sedim, di sini, semalam.

Kejadian berlaku di pusat peranginan Sungai Sedim, di sini dengan tiga mangsa yang maut itu dikatakan ditemukan terapung di aliran sungai di pertengahan bukit.

Video Terkini

Berita Berkaitan