KUALA LUMPUR: Populariti rawatan menurunkan berat badan menggunakan suntikan ubat diabetes yang sepatutnya dikawal, semakin meningkat sejak kebelakangan ini, didorong promosi meluas menerusi media sosial dan penawaran yang mudah diakses melalui klinik, pusat kesihatan swasta serta salun kecantikan.
Keadaan itu menyebabkan ramai individu memilih jalan pintas untuk mendapatkan berat badan ideal dengan lebih cepat menerusi suntikan berkenaan, berbanding pendekatan konvensional seperti diet dan senaman.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Arasu, berkata tindakan klinik menggunakan bahasa promosi yang menarik seperti diskaun, pakej dan gambar individu yang berjaya kurus, mendorong permintaan terhadap ubat preskripsi itu semakin meledak di pasaran walaupun tindakan itu bertentangan etika profesional dan perundangan sedia ada.
Beliau berkata, ubat preskripsi bukan produk pengguna dan tidak boleh dipasarkan secara terbuka seperti suplemen atau produk gaya hidup kerana ia mesti diberi berdasarkan diagnosis serta tidak boleh mengikut pemasaran.

"Malah, berdasarkan Kod Etika Profesional MMA, ia melarang pengiklanan yang bersifat promosi diri, mewujudkan permintaan yang tidak wajar atau mengelirukan orang awam.
"Pengiklanan ubat preskripsi (ubat Kumpulan B di bawah Akta Racun 1952) kepada orang ramai adalah dilarang dan ubat diabetes dengan beberapa jenama popular itu adalah ubat preskripsi Kumpulan B yang hanya boleh diperoleh melalui doktor berdaftar selepas penilaian klinikal yang sewajarnya dibuat, ia bukan atas permintaan," katanya.
Dr Arasu berkata, promosi ubat preskripsi melalui media sosial amat membimbangkan kerana dengan hanya video ringkas sahaja, ia tidak boleh menggantikan konsultasi perubatan.
Beliau berkata, klinik yang mempromosikan ubat diabetes bagi menurunkan berat badan tanpa mendedahkan risiko, kontraindikasi atau keperluan penilaian klinikal yang menyeluruh, menyebabkan pesakit berisiko menerima gambaran mengelirukan.
"Jadi kod etika itu menetapkan bahawa pertimbangan klinikal doktor menjadi asas kepada setiap keputusan rawatan, bukannya pertimbangan komersial.
"Apabila sesebuah klinik menjalankan kempen mempromosikan suntikan penurunan berat badan kepada mereka yang berminat, pertimbangan klinikal sudah diabaikan sebelum pesakit melangkah masuk ke klinik," katanya.
Dr Arasu berkata, sebelum menetapkan preskripsi, doktor perlu mengambil sejarah perubatan pesakit yang lengkap, menilai kontraindikasi, menjalankan ujian darah asas termasuk paras glukosa, fungsi buah pinggang, hati, profil lipid dan fungsi tiroid.
"Doktor perlu menerangkan mekanisme ubat, membincangkan potensi kesan sampingan termasuk simptom gastrousus yang serius, risiko pankreatitis dan kebimbangan berkaitan tiroid.
"Pada masa sama, doktor perlu menyediakan pelan susulan merangkumi pemantauan berkala kerana tanpa pelan pengurusan, ia boleh menyebabkan hasil rawatan berbalik.
"Apa yang penting ialah walaupun ubat itu mempunyai kelulusan dan pendaftaran Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), tetapi ia tidak bermakna ubat itu sesuai untuk semua pesakit atau boleh diberikan hanya kerana diminta," katanya.
Beliau berkata, ubat yang dipromosikan secara agresif di media sosial terutama versi kompaun atau tidak berdaftar, berupaya membawa risiko tambahan kerana ia berada di luar pengawasan kawal selia.
"Justeru, pesakit perlu bertanya secara terus kepada doktor adakah ubat ini berdaftar di Malaysia dan sesuai untuk dirinya selepas sejarah perubatan dinilai sepenuhnya," katanya.
























