PORT DICKSON: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Faizal Ramli, tetap berhati-hati dengan peluang mempertahankan kerusi yang disifatkan banyak pihak sebagai kubu kuat gabungan itu.
Beliau berkata, jentera BN akan berkempen dengan bersungguh-sungguh dan tidak memandang ringan saingan lawan.
"Suasana PRN kali ini tidak sama seperti yang lalu kerana kali ini saya dicabar Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun) dan seorang lagi calon BERSATU, Datuk Zamri Md Said.
"Saya tidak mengambil mudah tugas ini dan berharap kita berkempen dengan matang, saya tidak mahu berlaku sebarang pergaduhan antara penyokong.
"Kawasan ini adalah kawasan kampung," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Port Dickson ketika ditemui selepas pengumuman calon di pekarangan Pejabat Tanah dan Daerah, di sini hari ini.
Pada PRN 2022, Mohd Faizal mengekalkan penguasaan BN di DUN Linggi selepas memperoleh 7,832 undi dengan majoriti 1,461 undi.
























