JELEBU: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dijangka melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 24 Julai ini.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, manifesto itu akan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek termasuk agenda pembangunan negeri, pendidikan, kesejahteraan rakyat serta kestabilan pentadbiran.
Katanya, manifesto berkenaan akan menjadi kesinambungan kepada pendekatan yang dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, selain menampilkan beberapa penambahbaikan mengikut keperluan semasa rakyat.
"Manifesto BN tentunya berlandaskan kepada melangkah ke depan, kita memikirkan tambah baik dan nilai tambah. Kali ini, penambahbaikan kepada beberapa segmen berkaitan pembangunan, pendidikan, kesejahteraan dan kestabilan rakyat," katanya.
Ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini, hari ini, katanya, manifesto itu akan cuba menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat, terutama yang berpendapatan rendah, selain naik taraf kemudahan untuk peniaga kecil.
"Ini supaya mereka boleh menjana pendapatan yang sesuai untuk menambah baik keadaan dan juga penambahbaikan ekonomi negeri. Pada saya keselesaan masyarakat akar umbi penyumbang terbesar kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri," katanya.
Mengenai calon Menteri Besar daripada BN sekiranya diberikan mandat, beliau berkata, ia adalah hak pucuk pimpinan parti dan hanya akan diputuskan selepas keputusan PRN.
























