BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: Sepupu bertembung di Klawang, Bakri anggap perkara biasa, Rais pesan usah hilang petua berkeluarga

JELEBU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Bakri Sawir menyifatkan pertandingan menentang calon Perikatan Nasional (PN) mewakili Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Danni Rais yang juga sepupunya sebagai lumrah dalam politik.
PRN Negeri Sembilan: Sepupu bertembung di Klawang, Bakri anggap perkara biasa, Rais pesan usah hilang petua berkeluarga

Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) menasihatkan anak lelaki, Danni (kiri) dan anak saudara, Bakri Sawir supaya tidak melupakan petua berkeluarga ketika bertembung di DUN Klawang pada PRN Negeri Sembilan.

JELEBU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Bakri Sawir menyifatkan pertandingan menentang calon Perikatan Nasional (PN) mewakili Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Danni Rais yang juga sepupunya sebagai lumrah dalam politik.

"Dalam politik (bersaing calon lawan dari kalangan saudara mara), ia lumrah. Adik-beradik, sepupu tak sepupu, itu biasa. Jadi kita akan berlawan, tetapi dalam ruang lingkup politik yang sihat, insya-Allah," katanya.

Beliau yang menjelaskan demikian kepada pemberita selepas pengumuman calon di Dewan Besar Kuala Klawang, hari ini akan bertanding dalam saingan tiga penjuru menentang Danni dan Muhammad Adib Musa daripada BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, 1 Ogos nanti.

Sementara itu, Pengerusi WAWASAN, Tan Sri Rais Yatim yang juga bapa Danni, menolak tanggapan bahawa pertandingan itu akan menjejaskan hubungan kekeluargaan mereka.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas menteri Kabinet itu, berkata pertandingan tidak melibatkan isu peribadi, sebaliknya isu kenegaraan, kenegerian, kemasyarakatan, ekonomi, budaya dan sebagainya.

"Mereka tidak bermusuhan. Mereka masih saling melawat, menghormati, tapi dalam perjuangan, masing-masing mempunyai pendirian. Saya mengasihi kedua-dua pihak, seorang anak buah saya dan seorang lagi anak lelaki saya.

"Saya kata (kepada mereka) jangan hilang petua berkeluarga," katanya sambil menegaskan WAWASAN perlu memenangi kerusi yang ditandingi pada PRN ini bagi membolehkannya menjadi rakan bermakna dalam pentadbiran negeri di bawah gabungan diterajui Barisan Nasional (BN).

Rais berkata, WAWASAN hanya bertanding empat kerusi DUN, iaitu Klawang, Sikamat, Mambau dan Gemas, berdasarkan pembahagian kerusi bersama sekutunya.

Disebabkan itu, katanya, kemenangan di semua kerusi amat penting bagi memperkukuhkan kedudukan gabungan selepas pilihan raya pada 1 Ogos.

"WAWASAN harus menang, baru boleh dikira sebagai penambah kepada apa yang dicapai oleh UMNO di bawah payung BN. Boleh saya nyatakan potensinya sangat baik, cuma taktik dan juga kaedahnya harus diperhatikan dari dekat.

"Kaedah kita memasuki kampung dan menjelaskan dasar-dasar, ini satu. Orang kampung sebenarnya sudah dengar banyak dasar, tapi mereka mahu melihat kesungguhan kita menterjemahkan dasar-dasar ini.

"Inilah akan kita cuba bersama," katanya menambah WAWASAN yang pertama kali bertanding pada PRN akan berkempen di bawah payung BN dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, parti itu akan menumpukan kempen kepada isu yang memberi kesan kepada ekonomi luar bandar, golongan petani, peladang, institusi adat serta perkara berkaitan Perlembagaan sepanjang tempoh berkempen dalam PRN Negeri Sembilan.

"Kami mahu rakyat melihat WAWASAN sebagai pejuang ekonomi, Perlembagaan, undang-undang dan kemasyarakatan. Parti ini adalah parti yang meliputi pelbagai kaum," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan