BH Online
Ringkasan Berita

'Kerjasama dengan PN adalah persefahaman, bukan perjanjian' - Zahid

REMBAU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 adalah satu persefahaman dan bukan perjanjian atau kesepakatan.
'Kerjasama dengan PN adalah persefahaman, bukan perjanjian' - Zahid

Ahmad Zahid bersama Mohamad tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Seri Rembau. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH.

REMBAU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 adalah satu persefahaman dan bukan perjanjian atau kesepakatan.

Ahmad Zahid berkata, gabungan itu percaya melalui langkah taktikal itu, dengan BN bertanding di 25 kerusi dan PN di 11 kerusi, BN akan kembali merampas Negeri Sembilan.

"Kita akan pastikan koordinasi yang dilakukan ini bukan satu perjanjian atau kesepakatan, tetapi sebagai satu persefahaman.

"Persefahaman ini cukup penting bagi kita kerana kita dulu hanya mempunyai 14 kerusi dimenangi di bawah BN.

"Insya-Allah, dengan langkah taktikal yang kita lakukan ini, Negeri Sembilan akan kembali ditadbir BN. Gelombang biru ini sudah datang ke Negeri Sembilan," katanya berucap di hadapan penyokong BN selepas mengiringi Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Rembau di sini, hari ini.

Rabu lalu, BN mengumumkan 25 daripada keseluruhan 36 calon bagi mewakili gabungan itu pada PRN Negeri Sembilan ke-16.

Mohamad berkata, 11 lagi kerusi akan diumumkan kemudian kerana BN membuat persefahaman dengan 'kawan' yang boleh dipercayai pada PRN kali ini.

Keesokan harinya, PN mengumumkan calonnya bagi mengisi 11 kekosongan berkenaan, membabitkan lima calon daripada PAS, empat daripada WAWASAN dan masing-masing satu daripada GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menggesa jentera BN bekerja keras bagi memastikan kejayaan Mohamad dengan majoriti lebih tinggi, selain bagi calon BN di DUN Chembong dan Kota.

"Moga-moga dengan cara dan semangat baharu, gelombang biru yang datang, kita doakan dan kita bekerja supaya majoriti lebih tinggi.

"Kita hormati institusi adat dan raja, kita tatang. Insya-Allah Tok Mat (Mohamad), kita tak tebuk atap, kita buka atap baharu," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan