BH Online
Ringkasan Berita

Saingan 3 penjuru di 3 daripada 5 kerusi di Parlimen Kuala Pilah

KUALA PILAH: Proses penamaan calon bagi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Pilah selesai, dengan semua kertas pencalonan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Saingan 3 penjuru di 3 daripada 5 kerusi di Parlimen Kuala Pilah

Gambar hiasan

KUALA PILAH: Proses penamaan calon bagi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Pilah selesai, dengan semua kertas pencalonan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nawal Mohamed Amin, mengesahkan saingan pelbagai penjuru berlaku di tiga daripada lima kerusi berkenaan.

Di DUN Juasseh, calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Aidil Abdullah, akan berdepan Datuk Ismail Lasim daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Zuhaimi Md Yusof daripada BERSATU.

Juasseh mencatatkan antara persaingan paling sengit di Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri lalu.

Penyandangnya ketika itu, Datin Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN), berjaya mempertahankan kerusi berkenaan selepas memperoleh 4,549 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Eddin Syazlee Shith yang mendapat 4,471 undi.

Bibi Sharliza menang dengan majoriti tipis 78 undi, menjadikan Juasseh antara kerusi paling marginal di negeri itu.

Pada PRN kali ini, Ismail berpindah dari kerusi DUN Senaling untuk bertanding di Juasseh, mengambil alih tempat Bibi Sharliza.

Sementara itu, DUN Seri Menanti turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (PH), penyandang Sufian Maradzi (BN) dan Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin (BERSATU).

DUN Senaling juga menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Hanis Mohd Alimin (PH), Mohamad Qayyum Abd Jalil (BN) dan Mohd Izaffi Istear Khan (BERSATU).

Bagi DUN Pilah, penyandang Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (PH) akan mempertahankan kerusinya berdepan calon BN, Lisa Mat Yassin.

Sementara itu, di DUN Johol, Mohd Zailan Mohd Munawar (PH) akan menentang penyandang, Datuk Saiful Yazan Sulaiman (BN).

Pada PRN 2023, gabungan PH dan BN membentuk Kerajaan Negeri Sembilan selepas memenangi 31 daripada 36 kerusi DUN.

PH memenangi 17 kerusi, manakala BN memperoleh 14 kerusi dan PN pula memenangi baki lima kerusi.

Video Terkini

Berita Berkaitan