BH Online
Ringkasan Berita

Empat muka baharu dilantik EXCO Johor, enam EXCO kekal

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor menyaksikan empat muka baharu dilantik bagi penggal baharu pentadbiran negeri.
Empat muka baharu dilantik EXCO Johor, enam EXCO kekal

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama barisan EXCO Kerajaan Negeri Johor yang baharu, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, hari ini. Foto Najmi Nor’azam/NSTP

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor menyaksikan empat muka baharu dilantik bagi penggal baharu pentadbiran negeri.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada sidang media di kediaman rasminya di Saujana, di sini tengah hari ini.

EXCO baharu dilantik adalah Md Israk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup sebagai EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri, manakala ADUN Panti, Dr Mohd Naqib Ghazali memegang portfolio EXCO Pendidikan dan Penerangan

ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dilantik sebagai EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala ADUN Perling, P Pannir Selvam sebagai EXCO Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan.

Selain itu, enam EXCO dikekalkan portfolio masing-masing iaitu Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Mohd Hairi Mad Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam).

Turut dikekalkan, Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang menerajui portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) serta Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar).

Sementara itu, empat EXCO yang digugurkan ialah Khairin Nisa Ismail (EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri), Datuk Zahari Sarip (EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri), Aznan Tamin (EXCO Pendidikan dan Penerangan) dan K Raven Kumar (EXCO Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan).

Daripada empat EXCO terbabit, hanya Khairin Nisa tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi DUN Serom pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Terdahulu, Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan berkenaan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene, di sini pagi ini.

Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan pada PRN ke-16.

PRN Johor yang berlangsung Sabtu lalu, menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.

Video Terkini

Berita Berkaitan