BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: 'Kempen secara sihat, matang...' - Johari

TAMPIN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menasihatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) berkempen secara sihat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan demi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana harmoni.
PRN Negeri Sembilan: 'Kempen secara sihat, matang...' - Johari

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani (depan empat dari kiri) hadir mengiringi calon BN DUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar (depan lima dari kiri) dan calon DUN Repah, Koh Kim Swee (baju putih) di Dewan Perdana Tampin, hari ini. - BERNAMA

TAMPIN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menasihatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) berkempen secara sihat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan demi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana harmoni.

Beliau berkata, pilihan raya bukan sekadar medan persaingan politik, sebaliknya platform untuk rakyat memilih pemimpin yang berkaliber dan mampu membawa pembangunan kepada negeri serta masyarakat setempat.

"Kita mempunyai dua calon BN di kawasan Parlimen Tampin, iaitu di DUN Gemencheh dan Repah. Saya berharap semua jentera dapat berkempen secara sihat dan turun bertemu rakyat bagi memastikan kedua-dua calon ini diberi mandat," katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Perdana Tampin, hari ini, Johari berkata, kedua-dua calon BN di Tampin mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan diyakini mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negeri jika dipilih.

Katanya, calon BN di Gemencheh, Suhaimizan Bizar mempunyai pengalaman sebagai wakil rakyat dan berhasrat meneruskan khidmat kepada penduduk, manakala calon Repah, Koh Kim Swee mempunyai pendekatan baik dalam mendekati masyarakat pelbagai kaum.

"Tujuan kita adalah membawa pemimpin yang mempunyai kaliber untuk sama-sama membantu rakyat, khususnya di kawasan Parlimen Tampin," katanya yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Mengenai kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam pembahagian kerusi dalam PRN kali ini, Johari berkata, sebarang kerjasama atau persefahaman bergantung pada kesediaan kedua-dua pihak mencari titik persamaan meskipun masing-masing mempunyai ideologi politik berbeza.

Beliau berkata, perbezaan ideologi menjadi antara faktor utama wujudnya perbezaan pendirian antara parti politik, namun sekiranya ada ruang mencapai persefahaman di kawasan atau negeri tertentu, ia boleh menjadi pertimbangan parti masing-masing.

"Dalam politik, setiap parti mempunyai ideologi masing-masing. Selalunya perbezaan pandangan berlaku kerana ideologi yang dibawa juga berbeza.

"Jika masing-masing boleh capai persefahaman dan ada kawasan atau negeri yang sesuai untuk bertanding bersama, itu terpulang. Akhirnya bukan pemimpin yang memilih, sebaliknya rakyat yang membuat keputusan," katanya.

Sebelum ini, BN mengumumkan bertanding di 25 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, manakala baki 11 kerusi ditandingi PN menerusi perbincangan pembahagian kerusi.

Video Terkini

Berita Berkaitan